Tuesday, September 28, 2010
Sunday, September 26, 2010
Rumah Bot Tasik Kenyir
Tasik Kenyir merupakan Tasik buatan manusia yang terbesar di Asia Tenggara. Ia meliputi keluasan 260,000 hektar dan mempunyai lebih dari 340 buah pulau. Tarikan utama di Tasik Kenyir ialah flora dan faunanya, ia menjadi habitat berbagai jenis tumbuhan dan binatang liar, burung-burung, dan juga pelbagai spesis ikan air tawar. Tasik Kenyir juga menjanjikan pelbagai aktiviti menarik seperti memancing di Rumah Bot, berkayak, berkhemah, menerokai gua, dan pelbagai lagi aktiviti-aktiviti menarik boleh dilakukan di sini untuk meluangkan masa bersama keluarga atau rakan-rakan.
Rumah Bot ini mempunyai pelbagai kelengkapan seperti tandas, dapur, malah ada rumah bot yang mempunyai kipas angin dan televisyen bergantung pada harga. Anda hanya perlu menyediakan bahan mentah seperti beras atau sayur untuk memasak.
Air Terjun Lasir
Di sekitar Tasik Kenyir ini terdapat 14 air terjun dan Air Terjun Lasir merupakan Air Terjun terbesar di sini dan paling gemar dilawati oleh para pelancong.
Pengusaha Rumah Bot
1. Kartunis Ujang 012-9747995
2. Azlan Ambia 019 2512559
3. Baharom 017-9195592
4. Eddi 019-9511780
5. Azman 013 9184758
Labels:
Tempat Menarik
Monday, September 20, 2010
Sebab-Sebab Penutupan Lombong Bijih Besi di Bukit Besi

Setelah 41 satu tahun Bukit Besi digali isi perutnya, pada tahun 1971, kerja-kerja perlombongan bijih besi telah diberhentikan. Antara alasannya ialah kekurangan deposit bijih, karenah kesatuan sekerja, karenah birokrasi dan sebagainya.


Operasi perlombongan juga telah diberhentikan setelah EMMCO tidak berjaya mendapatkan penurunan cukai daripada kerajaan berjumlah RM40 juta setahun.
Sumber :
1. Report on the Japanese iron and manganese ore mines (1953 Terengganu)
2. Tuan Hajo Abdul Wahab bin Yunus.
YDP Persatuan Sejarah Terengganu (Kawasan Dungun)

Namun demikian, masih terdapat bijih besi yang dilombong di Bukit Besi yang diuruskan oleh tiga buah syarikat yang telah dilantik oleh kerajaan iaitu TBM Mineral Sdn Bhd, Cahaya Iktiar Sdn Bhd dan Wahaba Wangi.
Labels:
Sejarah
Thursday, September 16, 2010
Memburu Sepit Biru di Sungai Terengganu
Sungai Terengganu mengalir tenang dari Hulu Kuala Berang ke Kuala Terengganu. Sekali musim bah, arusnya menggoncangkan sangkar-sangkar ikan yang berada di sepanjang sungai bersejarah ini. Paling dibimbangi pemilik sangkar, kayu balak yang hanyut akan memusnahkan sangkar-sangkar ikan. Penantian selama 6 bulan untuk memungut hasil akan lenyap begitu sahaja. Inilah realiti yang berlaku saban tahun dalam kalendar pengusaha ikan sangkar di pesisir Sungai Terengganu.

(Klik untuk lihat Video)
Sungai Terengganu sangat kaya dengan pelbagai spesis hidupan air tawar kerana sungai ini dalam dan lebar. Ia telah menjadi nadi kepada kehidupan rakyat Terengganu sejak zaman dahulu lagi. Batu bersurat yang dijumpai di Padang Tara, di tepi Sungai Tara, Kuala Berang pada 1887 sangat berkait rapat dengan Sungai Terengganu. Ia membuktikan Sungai ini pernah menjadi laluan penting kapal-kapal dagang. Menurut catatan sejarah, Kuala Berang atau dikenali dengan nama ' Foloan' merupakan pusat perniagaan dan menjadi tumpuan suatu ketika dahulu.
Memburu Sepit Biru

Melihat hujung mata kail yang terhenjut-henjut
Apabila masa terluang, aktiviti memancing di sungai menjadi pilihan. Namun kali ini bukanlah sotong atau ikan yang menjadi buruan, tetapi udang galah atau lebih dikenali sebagai 'Sepit Biru' di kalangan kaki pancing. Berbeza dengan memancing ikan, memancing udang memerlukan kepekaan yang lebih tinggi pemancing kerana libasan ikan agak berbeza dengan sentapan Sepit Biru. Seringkali hujung mata kail terhenjut-henjut, tetapi jika tidak kena cara tariknya, hanya mata kail kosong akan diangkat. Sungai Terengganu terkenal sebagai lokasi untuk memancing udang galah dan juga pelbagai jenis ikan air tawar lain.
Umpannya tidak perlu dibeli, hanya perlu membawa penangguk. Anak-anak udang yang bermain-main di bawah daun kiambang dan rumput-rumput di tepi sungai ditangguk, dicangkukkan ke mata kail dan dibuang kepalanya. Lontarkan mata kail ke dasar sungai, biarkan batu ladung tergantung begitu hampir dengan dasar sungai, supaya pergerakan mata kail dapat dikesan. Mata tidak akan mengantuk jika sentiasa ada yang menarik-narik mata kail, malah bertambah segar apabila ditarik kuat dan berjaya menaikkan udang galah.
(Klik untuk lihat Video)
Pelbagai jenis ikan dipelihara dalam sangkar di pesisir sungai ini seperti ikan Talapia, ikan Baung ikan Patin dan lain-lain lagi. Ikan yang dipelihara di Sungai lebih segar dan bersih kerana airnya mengalir.
Labels:
Pengalaman Menarik
Wednesday, September 15, 2010
Terengganu International Endurance Park (TIEP)
Tidak perlu diperkenalkan lagi, satu Malaysia telah mengetahui bahawa Sultan Mizan ialah equestrian yang amat gigih memperjuangkan sukan berkuda di Malaysia khususnya. Sejarah Malaysia dalam sukan ini bermula pada tahun 1998 apabila menyertai World Endurance Cup (WEC) di Dubai. Dengan sokongan Sultan yang padu dalam sukan berkuda ini, pelbagai pembangunan dalam sukan ini telah dibuat, antaranya ialah promosi, pembinaan prasarana yang lengkap, latihan untuk equestrian, penganjuran pertandingan di peringkat antarabangsa dan lain-lain lagi. Keghairahan baginda dalam sukan ini telah mengharumkan nama Terengganu dan Malaysia di mata dunia dengan penganjuran bertaraf antarabangsa seperti FEI World Endurance Championship dan juga Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge.

Lembah Bidong, Setiu terletak kira-kira 31 km dari Kuala Terengganu telah dipilih sebagai tapak Terengganu International Endurance Park kerana struktur muka buminya amat sesuai untuk pertandingan Kuda Lasak. Selain trek sejauh 160km yang menawarkan pemandangan pesisir pantai dan ladang-ladang, peserta kuda tunggangan perlu menghadapi cabaran dengan permukaan tanah yang berpasir dan juga berkemungkinan menahan sejuk air hujan yang mencurah kerana bulan November adalah permulaan monsun bagi negeri-negeri Pantai Timur terutamanya. Namun, itu bukanlah penghalang bagi peserta-peserta kerana persediaan mental dan fizikal telah lama dibuat bagi menyertai sukan berprestij ini.
Prasarana yang lengkap dan bertaraf antarabangsa di TIEP




Peserta dari pelbagai negara menyertai Sultan's Cup


Jangan lupa untuk ke Terengganu International Endurance Park (TIEP)
pada 5-7 November 2010 untuk menyaksikan
Sultan's Cup Terengganu Endurance Challenge
Labels:
Tempat Menarik
Subscribe to:
Posts (Atom)