Saturday, September 24, 2011

Seni Wayang Kulit


Wayang Kulit merupakan satu seni persembahan yang telah diwarisi sejak turun-temurun dari nenek moyang kita. Ia merupakan satu seni warisan zaman berzaman yang menjadi hiburan masyarakat lalu. Di samping menjadi hiburan, ia juga merupakan satu jenis pendidikan dan penyampaian yang banyak mencorakkan masyarakat terutamanya di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung dan juga negeri-negeri Utara Malaysia.Wayang kulit Kelantan dan Terengganu banyak dipengaruhi oleh Hikayat Seri Rama yang disadur dari Epik Ramayana. Kini, persembahan ini disampaikan dengan cerita yang banyak berkaitan dengan kehidupan seharian dan juga sarat dengan sindiran-sindiran yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat.


Antara watak penting dalam wayang kulit di Pantai Timur ini ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana.Namun watak yang paling melekat di hati penonton ialah Wok Yoh, Samad dan Said. Kisah-kisah yang disampaikan oleh Tok Dalang sangat mencuit hati dan itulah daya tarikan utama kepada Wayang kulit ini.Seperti Main Puteri dan juga Ulik Mayang, persembahan Wayang Kulit dikatakan mempunyai unsur-unsur pemujaan. Dalam sesetengah persembahan Wayang Kulit, ritual memusing-musingkan daun sireh sebelum persembahan adalah berkaitan dengan pemujaan semangat. Oleh sebab itulah kerajaan di Kelantan mengenakan syarat yang ketat untuk kumpulan-kumpulan Wayang Kulit, malah ada kumpulan yang diharamkan untuk membuat persembahan.



Alat-alat muzik wayang tersebut terdiri dari sebatang serunai, sepasang gedombak, sepasang geduk, sepasang gong (tetawak), sepasang kesi, sebiji mong dan canang. Alunan kesemua alat muzik ini menghidupkan lagi suasana persembahan Wayang Kulit. Tokoh-tokoh yang terkenal dalam seni wayang kulit ini ialah Pak Su Ghani, Pak Nik Mat dan lain-lain lagi. Di Negeri Terengganu ini terdapat seorang Tok Dalang yang sangat terkenal iaitu Saupi. Kebolehannya dalam seni persembahan Wayang Kulit ini amat mengagumkan siapa sahaja. Di samping suaranya yang lunak ketika menyanyi, Tok Dalang Saupi juga boleh menukar-nukar suara mengikut watak-watak dalam Wayang Kulit ini. Tok Dalang Saupi ini berasal dari Kelantan dan kini menetap di Tenang, Besut, Terengganu. Beliau pernah dibawa oleh kerajaan Negeri Terengganu mengadakan persembahan di luar negara seperti Jepun, Perancis, England dan pelbagai negara lagi.


Penonton yang tidak kering gusi mendengar keletah Tok Dalang

Kini persembahan wayang kulit semakin lesu dimamah kemodenan. Generasi muda tidak lagi meminati seni wayang kulit ini. Ada usaha yang mengangkat semula seni wayang kulit dan watak-watak dalam wayang kulit ini dihidupkan semula dalam bentuk animasi.














Read more...

Thursday, September 15, 2011

Karnival Tanglung, Mid Autumm Festival, Kampung Cina



Di dalam budaya masyarakat Cina, tanglung (sky lantern) atau juga dikenali sebagai tanglung Kongming (Kongming Lantern) dilepaskan ke langit semasa menyambut Mid Autumm Festival. Perayaan ini secara tradisinya disambut pada hari kelima belas dalam bulan kelapan dalam kalendar Cina, iaitu pada bulan September atau awal Oktober. Pesta ini adalah pesta yang kedua paling penting selepas Festival Spring kepada masyarakat Cina. Setiap tahun apabila tiba perayaan dan festival mereka akan pulang untuk bertemu dengan keluarga dan makan malam dengan mereka.


Harapan dan hasrat ditulis di Tanglung sebelum dilepaskan ke langit.

Sambutan perayaan Mid-Autumm ini mempunyai sejarah sejak 3000 tahun lalu. Perayaan ini juga dianggap sebagai perayaan musim menuai. Makanan yang paling terkenal untuk festival ini ialah kuih bulan. Kuih bulan biasanya dibuat dengan biji tembikai, biji teratai, badam, daging cincang, kacang pes dan kulit oren. Warna kuning keemasan kuih bulan ini adalah dari telur itik dan kuih ini dihiasi dengan simbol-simbol perayaan. Perayaan ini disambut secara meluas di seluruh negara, dan merupakan salah satu daripada cuti perjumpaan keluarga masyarakat Cina. Pada hari itu, ahli keluarga Cina tinggal bersama-sama, mengagumi bulan penuh dan makan kuih bulan.

Di Terengganu, Festival Mid Autumm disambut dengan sangat meriah sekali terutamanya di Kampung Cina Kuala Terengganu. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Pertandingan Perhiasan Tanglung, Seni Kaligrafi Cina, Tarian Singa, Lampu Lotus, Orkestra Muzik Klasikal Cina, pertunjukan bunga api dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik yang bermula dari 9 September 2011 hingga 16 September 2011.



Mengapa Masyarakat Cina meraikan Pesta Tanglung ?

Terdapat banyak versi tentang lagenda mengapa masyarakat Cina melepaskan tanglung ke langit. Ini adalah salah satu kisah yang sangat masyhur di kalangan masyarakat Cina yang diceritakan sendiri oleh rakan Cina saya. Kisah ini bermula sejak dahulu di mana semua manusia hidup dalam kesengsaraan dan tiada makanan. Menurut lagenda ini, bumi pada ketika dahulu mempunyai 10 matahari, oleh sebab itulah berlaku satu musim panas yang amat melampau dan menyebabkan tidak ada tumbuhan dan hasil makanan.

Terdapat seorang perwira yang gagah yang bernama Hou Yi, beliau ingin memusnahkan kesemua matahari yang menyebabkan manusia sengsara. Apabila Hou Yi ingin memusnahkan matahari yang ke sepuluh seorang tua menahannya dari melakukan demikian kerana manusia memerlukan matahari untuk terus hidup. Sejak dari itu, bumi mempunyai satu matahari sahaja dan Hou Yi menjadi terkenal dan disayangi ramai. Hou Yi telah mengahwini seorang jelitawan bernama Chang Er. Mereka hidup bahagia tetapi terdapat juga penduduk kampung berasa iri hati terhadap mereka. Mereka melepaskan Tanglung ke udara, ke Bulan.

Oleh kerana Hou Yi sangat kuat dan mempunyai kemahiran dalam memanah dan memburu, ramai yang ingin berguru dengan Hou Yi. Seorang lelaki bernama Feng Meng telah menjadi murid Hou Yi. Feng Meng merupakan seorang yang jahat dan sebenarnya amat iri hati terhadap Hou Yi. Suatu hari Hou Yi pergi ke Kun Lun (gunung) untuk melawat rakannya. Dalam perjalanan Hou Yi bertemu dengan Wang Mu Nian Nian (isteri kepada Yu Wang Da Di). Hou Yi meminta pil (pil untuk hidup selamanya) daripada Wang Mu Nian Nian.




Oleh kerana Hou Yi terlalu menyayangi isterinya, Hou Yi tidak memakan pil tersebut dan meminta isterinya Chang Er menyimpannya. Malangnya, semua ini telah didengari oleh Feng Meng. Feng Meng ingin memiliki pil itu kerana dia ingin hidup selamanya. Pada suatu hari, Hou Yi keluar memburu dan meninggalkan Chang Er keseorangan di rumah. Feng Meng pergi ke rumah Chang Er dengan membawa sebilah pedang dan mengugut Chang Er supaya mendapatkan pil tersebut untuknya. Chang Er tidak tidak dapat melawan, lalu dia mengeluarkan pil tersebut dan menelan kesemuanya. Selepas itu, badan Chang Er mengeluarkan cahaya dan Chang Er menjadi 'immortal'(hidup kekal abadi), Chang Er kemudiannya naik ke bulan.

Pembantu rumah Chang Er yang menangis teresak-esak memberitahu Hou Yi apa yang berlaku petang itu. Hou Yi sangat terkejut dan marah. Hou Yi mahu membunuh Feng Meng tetapi Feng Meng berjaya melarikan diri. Hou Yi berasa amat sedih kerana kehilangan isterinya. Hou Yi berjalan ke luar rumah dan mengadapkan mukanya ke langit dan berteriak, "Chang Er!!", ketika itu, dia melihat bulan yang sangat indah, dan bulan yang indah itu sangat mirip dengan isterinya, Chang Er. Hou Yi berlari pantas ke arah bulan untuk mendapatkan isterinya, malangnya bulan tersebut juga lari dari dirinya. Hou Yi tidak dapat mendekati bulan tersebut. Hou Yi tidak mempunyai pilihan tetapi dia sangat menyayangi isterinya. Dia meminta pembantu rumahnya pergi ke taman (tempat yang suka dilawati Chang Er) dan menyediakan buah di situ, dengan maksud menyediakan buah itu untuk bulan dan juga untuk isterinya. Semua penduduk kampung yang mengetahui kisah ini mengikuti Hou Yi berbuat demikian, dan tradisi ini kekal hingga sekarang.


Persembahan pentas di Karnival Tanglung Kampung Cina 2011







Read more...

Wednesday, September 7, 2011

Dialek Terengganu

Bahasa terdiri daripada sekumpulan dialek yang bersalingfahaman antara satu sama lain. Dialek-dialek yang tergolong dalam satu bahasa lazimnya mempunyai banyak ciri persamaan dan juga terdapat perbezaan . Perbezaan dialek ini dipengaruhi oleh faktor ruang dan juga geografi.



Pertuturan biasa di Daerah Marang.


Bagi mereka yang bukan penutur dialek Terengganu, perkataan yang mungkin paling kerap didengar dan disebut mengenai dialek Terengganu ini ialah 'makang ikang'. Entah sebab apa dua perkataan ini sering timbul dan sentiasa disebut-sebut untuk mengaitkannya dengan dialek Terengganu. Mungkin kerana Negeri Terengganu ini kaya dengan makanan laut itu. Sebenarnya terdapat banyak lagi perkataan-perkataan loghat Terengganu yang jika disebut mungkin langsung tidak difahami. Satu lagi perkara yang sangat sinonim dengan loghat Terengganu ialah penambahan huruf 'G' di belakang perkataan. Selain itu, dialek ini sangat kaya dengan penambahan kata penguat di belakang perkataan. Sebagai contoh, 'busuk kohong', 'kohong' itu membawa maksud sangat busuk. Loghat Terengganu juga sering meringkaskan perkataan seperti perkataan 'masjid' menjadi 'sejid'.

Terdapat tiga dialek yang berbeza di Terengganu ini, iaitu dialek di Daerah Kuala Terengganu Dungun, Kemaman dan Marang, dialek di Daerah Kuala Berang dan Dialek di Daerah Besut. Di Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Marang, dialek Terengganu pekat digunakan. Dialek ini juga digunakan oleh penduduk di sempadan Pahang. Berbeza di Daerah Besut dan sebahagian Setiu, mereka menggunakan dialek Kelantan dalam kehidupan seharian. Loghat Kuala Berang merupakan loghat yang paling unik di Negeri Terengganu, ia sangat berbeza dengan loghat Terengganu dan loghat di Besut. Seperti perkataan 'balik', loghat Kuala Berang menyebutnya sebagai 'balaik', manakala perkataan 'barangkali' disebut sebagai 'bakalai'. Banyak lagi perkataan-perkataan loghat Kuala Berang yang sangat berbeza dari loghat Terengganu.








Untuk mengetahui perkataan-perkataan loghat Terengganu,
Klik di sini.

Read more...

Saturday, August 27, 2011

Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut

Masjid Al-Jamhuriah Kuala Besut


Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan ke enam saya berkelana mencari ilmu di Bumi Besut, bumi bertuah, bumi Ulul-Albab ini, dan tahun ini merupakan tahun terakhir saya di sini, entah di bumi mana pula berpijak untuk Ramadhan tahun depan. Ramadhan di sini sangat ceria dengan jemaah yang ramai dan semestinya moreh yang disediakan sangat dinantikan kanak-kanak. Apa yang paling menarik di sini ialah selepas sahaja solat terawih, setiap gerai-gerai kedai makan di sekitar Besut ini bertukar menjadi gerai colek buah, kerang bakar, dan makanan lain, sama meriahnya gerai-gerai colek buah ini seperti di negeri Kelantan.

Terfikir juga di benak fikiran mengapa tiada masjid besar di Pekan Kuala Besut ini, sedangkan penduduk di sini sangat padat sehinggakan di kawasan ini terdapat empat buah sekolah rendah yang letaknya sangat berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 1, Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2, Sek. Keb. Nail dan Sek. Keb Alor Peroi. Rupanya sangat banyak surau dan masjid kecil dibina sangat berdekatan. Berdekatan Masjid Al-Jamhuriah Kuala Besut ini terdapat sebuah surau lagi bersebelahan kedai-kedai yang menjadi tumpuan pelancong asing. Di depan Masjid Al-Jamhuriah ini terdapat sebuah lagi surau kayu, tetapi Masjid Al-Jamhuriah ini yang paling menjadi tumpuan.

Masjid Al-Jamhuriah ini menjadi lambang dan identiti Pekan Kuala Besut kerana keistimewaan dan bentuk masjid ini. Ia menjadi mercu tanda Kuala Besut, sebuah pekan yang amat terkenal sebagai pekan pelancongan kerana menjadi pintu masuk utama ke Pulau Perhentian. Masjid ini mempunyai sejarah tersendiri kerana telah dibina sejak tahun 1345 Hijrah bersamaan 1926 Masehi. Bersebelahan Masjid ini juga terletak tanah perkuburan Islam lama.


Kemasan Kayu terukir 99 nama Allah di Mihrab Masjid Al-Jamhuriah



Rekabentuk mimbar yang sangat menarik


Motif ukiran flora yang menghiasi setiap tiang di ruang solat utama.
Tarik dibina masjid ini terukir di situ.


Dewan solat Utama















gambar dari Shafiq

Read more...

Wednesday, August 10, 2011

Main Puteri dan Ulik Mayang

Memang tidak ramai yang tahu mengenai Main Puteri atau Ulik Mayang. Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal di bandar berbanding mereka yang tinggal di Kampung.Bagi golongan masyarakat yang lebih berumur mungkin mereka pernah mendengar tentang Main Puteri(Main Peteri) dan Ulik Mayang ini. Ia merupakan satu kaedah perubatan Tradisional orang Melayu untuk tujuan perubatan.Tradisi ini telah muncul sejak dahulu terutamanya di Terengganu dan Kelantan. Kaedah Perubatan tradisional ini mempunyai unsur syirik dan tahyul kerana terdapat bacaan jampi mantera oleh Tok Puteri, orang yang bertanggungjawab mengepalai Main Puteri.




Kebiasaannya di kampung-kampung, berita tentang main puteri tidak begitu tersebar, hanya dari mulut ke mulut. Suasana di tapak main puteri meriah dengan kehadiran ramai orang yang teruja untuk menyaksikan sesuatu yang jarang berlaku ini. Di atas khemah main puteri digantung sesuatu barang yang mungkin berkait dengan ritual ini. Di suatu sudut juga, terlihat seorang pesakit terbaring dan lesu. Kedut wajahnya seperti sudah lama terlantar sakit. Seorang lelaki berdiri dan mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu yang tidak begitu difahami diiringi dengan tiupan seruling dan paluan gendang, rebana dan Gong.

Tok Puteri mula menari mengikut rentak. Setiap gerak geri tarian ini nampak tidak teratur namun mempunyai kaitan dengan rentak muzik yang dimainkan. Tarian ini seperti memanggil roh untuk meresap ke dalam badan pesakit. Namun tidak ada respon dari pesakit, Tok Peteri berhenti menari dan muzik pun berhenti seketika. Kali kedua Tok Peteri menari lebih rancak, lenggoknya berbeza dari yang tadi. Terasa meremang bulu roma melihat tarian kedua ini. Kali ini pesakit menunjukkan reaksinya. Agak pelik kerana orang tua yang uzur berbaring tadi mula melenggok-lenggokkan badan mengikut alunan rentak muzik. Ke Kiri dan kanan. Selepas itu, pesakit itu tunduk memilih makanan yang disediakan di situ, dipilihnya ayam panggang bukan pulut kuning.Setelah ritual berakhir keluarga pesakit membawa pesakit pulang. Keadaannya lebih baik daripada sebelumnya.









video dari Nurabadie

Read more...

Saturday, August 6, 2011

Imam Arab : Ramadhan 2011



“Sesungguhnya di syurga terdapat pintu yang dinamakan al-Rayyan. Orang-orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu itu pada hari Kiamat. Tidak ada seseorang pun yang akan masuk melalui pintu ini kecuali mereka .Dikatakan: Mana orang-orang yang berpuasa? Lalu mereka semua berdiri. Tidak ada seorang pun yang masuk melalui pintu ini selain mereka. Apabila mereka semua telah masuk, pintu ini akan ditutup dan tidak ada seorang pun yang akan masuk melaluinya”

(Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Shahih al-Bukhari )




Ramadhan menjelma lagi, dan kita dipanjangkan umur setahun lagi untuk menikmati Ramadhan ini. Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajud dan qiamullail, bulan kesabaran dan ketakwaan, bulan keampunan dan kebebasan daripada api neraka. Padanya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan diikatnya syaitan, ditutup pintu-pintu neraka dan dibuka pintu-pintu syurga. Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan.

Jalan raya menjadi sibuk, bazar-bazar dipenuhi manusia, dijual bermacam jenis juadah berbuka puasa, surau-surau dan masjid-masjid diterangi cahaya, jemaah berterawih, berlumba-lumba melipatgandakan amalan untuk mendapat keredhaan dari Allah s.w.t. Begitulah istimewanya Ramadhan.

Sheikh Abdel Rahman Mahmoud El Dabouly (imam dari Mesir di Masjid Kristal) menyampaikan tazkirah dan diterjemahkan.


Sebahagian jemaah di Masjid Kristal.

Imam-Imam dari pondok agama dijemput mengetuai terawih, bukan dari pondok sahaja, malah dari luar negara turut dijemput untuk memeriahkan lagi terawih di masjid-masjid. Seperti kebiasaan di bulan Ramadhan, kerajaan Negeri Terengganu menjemput imam dari Timur Tengah untuk mengetuai solat terawih di masjid-masjid utama di Negeri Terengganu. Tahun ini, kerajaan negeri menjemput 32 imam dari Arab Saudi bagi menjadi imam solat tarawih. Taranum ayat Al-Quran oleh imam-imam ini dalam solat begitu merdu, fasih, dan lancar. Tidak terasa lamanya solat terawih yang dilakukan.









Read more...

Sunday, July 17, 2011

Ustaz Azhar Idrus


Apabila ditaip sahaja perkataan Ustaz di Google, keluar keyword Ustaz Azhar, Ustaz Kazim, Ustaz Zaharuddin, dan Ustaz Zahazan yang di'rekemenkan' oleh Google. Nama-nama Ustaz ini merupakan Ustaz yang paling aktif dalam dunia Internet tidak kira melalui Youtube atau laman Blog masing-masing.


Bagi sesiapa yang belum mengenali Ustaz Azhar, mungkin ada di antara mereka yang menyamakan beliau dengan Osama atau Tok Janggut kerana penampilan tokoh ini sama seperti Osama dan Tok Janggut. Imejnya yang berjanggut panjang dan berkopiah putih menyampaikan ceramah agama dengan bersungguh-sungguh dan diselang-selikan dengan lawak jenaka, sangat dikenali di internet khususnya di Youtube. Apa yang uniknya, ustaz ini menyampaikan ceramah dalam loghat Terengganu, kadang-kalanya loghatnya pekat hanya difahami penutur dialek bahasa Melayu Terengganu.

Kuliahnya sering dihadiri ramai orang dan sebahagian besarnya adalah golongan muda. Mungkin kerana hobi fotografi beliau sama dengan kegilaan ramai anak muda sekarang. Mungkin juga kerana ustaz ini merupakan ustaz yang paling maju dalam IT. Terdapat beberapa laman web dan juga Forum yang dikendalikan seperti UstazAzhar.net, Siput Online, Digital Mukmin Photography, dan juga Forum Digital Mukmin.



Dalam biodatanya menyebutkan, beliau pernah bersekolah di Sekolah Inggeris Sultan Sulaiman Kuala Terengganu hingga Tingkatan 6 dan pernah menjadi seorang guru muzik pada tahun 1985, namun menurut beliau tiada seorang pun anak didik muziknya menjadi pemuzik, ujarnya secara berseloroh. Beliau mulai belajar agama di pondok secara talaqqi sekitar tahun 1990 ketika usia beliau sudahpun menjangkau 25 tahun.






Antara Kitab-Kitab Agama yang dikupas dalam
kuliah-kuliah saban malam di Masjid dan surau sekitar Terengganu
  • Kitab Muhimmah
  • Kitab Tahzib Atrafil Hadith
  • Perisai Bagi sekelian Umat
  • Nasihat Agama dan Wasiat Iman
  • Perukunan
  • Bahrul Maazi
  • Hidayatuss Salikin
  • Kitab Fatwa Mufti Johor
  • Kitab Munyatul Musolli
  • Majmuk Salasa
  • Penawar Bagi Hati
  • Hadith 40
  • Sulam Mubtadi
  • Hadith 40 Akhir Zaman
  • Hidayatuss Sibyan
  • Wishah Afrah
  • Anak Kunci Syurga
  • Jihazul Madihah









Read more...

Thursday, July 14, 2011

Jelajah Piala FA dan Piala Sukma

Perarakan Pemain Bola Sepak dan Atlet Sukma Negeri Terengganu bersama Piala FA dan Piala Sukma 2011


Kejayaan Terengganu menjuarai Piala FA dan Sukma 2011 lalu membawa erti yang sangat besar buat seluruh warga negeri Terengganu. Kejayaan ini menaikkan nama Terengganu sebagai 'gergasi sukan' yang paling digeruni di Malaysia ini. Membalas sokongan padu dari rakyat Terengganu, satu siri jelajah Pemain Bola Sepak Terengganu bersama Piala FA telah diadakan dan beberapa daerah sudah dilawati. Sambutan dari orang ramai yang ingin melihat sendiri piala kebanggaan Terengganu sangat memberangsangkan. Bermula di Kuala Terengganu, jelajah Piala FA melewati daerah Setiu, Besut, Hulu Terengganu dan Dungun dari 11 hingga 14 Julai 2011.

Piala Sukma dan Piala FA


Perlawanan persahabatan antara pasukan Negeri dan penduduk setempat di Daerah Besut.


Bersama wira Terengganu, Nordin Alias.

Marzuki Yusoff, kapten pasukan Terengganu












gambar oleh : awokbola

Read more...

Sunday, July 10, 2011

Tomoi (Muay Thai) di Besut


Istilah 'gedebe' sering dikaitkan dengan masyarakat Negeri Kelantan. Sebenarnya istilah ini juga dikongsikan penduduk daerah Besut yang bersempadan dengan negeri Cik Siti Wan Kembang itu. Persamaan kolokial antara dua tanah yang berbeza ini membawa kepada banyak persamaan budaya dan cara hidup yang sebenarnya sangat unik dan tiada dalam daerah lain di Negeri Terengganu. Kedudukan daerah Besut ini yang berhampiran dengan Kelantan dan Thailand membawa sedikit sebanyak pengaruh dalam kehidupan masyarakat di sini.

Sukan Tomoi(Muay Thai) sebagai contoh, menjadi satu kesukaan dalam masyarakat di sini. Seperti Dikir Barat juga, perlawanan tomoi sering diadakan di pelbagai tempat yang menjadi tumpuan orang ramai. Kebiasaannya, perlawanan ini diuruskan oleh persatuan yang menghimpunkan peninju-peninju tomoi dari Kelantan dan juga Besut. Kawasan yang akan diadakan pertandingan dipagar dengan atap zink yang tinggi. Bayaran RM10 untuk dewasa dan RM5 untuk kanak-kanak. Nyatanya, bayaran ini sangat berbaloi untuk menyaksikan beberapa pasang peninju tomoi beradu tenaga di pentas maruah ini. Lebih mengujakan, terdapat juga peninju tomoi dari kalangan wanita yang tidak kurang hebatnya.


Kelunakan bunyi serunai dan gendang menemani perlawanan jaguh-jaguh tomoi tempatan. Semakin kuat tumbukan dan tendangan, semakin kuat jeritan dari penonton-penonton. Tubuh jaguh-jaguh tomoi yang bertarung ini keras bak besi, terutamanya di bahagian tulang kering yang sering berlaga. Sesekali kaki singgah di muka menambahkan lagi teriakan penonton dan sesekali siku singgah di muka membuatkan lawannya rebah.
















Read more...

Sunday, June 26, 2011

Hari Terbuka Pangkalan Udara Gong Kedak TUDM


Sempena Hari Ulangtahun TUDM ke 53, hari terbuka Pangkalan Udara Gong Kedak telah diadakan pada 24-25 Jun lalu. Pelbagai aktiviti-akitivi yang menarik telah dijalankan seperti pertunjukan payung terjun, pertunjukan udara dari TUDM, kawad senyap TUDM, Tempur tanpa senjata, Muay Thai, Paramotor, Pameran dan pelbagai lagi. Karnival ini dimeriahkan lagi dengan kehadiran ramai pengunjung yang sanggup datang dari jauh untuk menyaksikan sendiri jet-jet pejuang secara dekat yang sebelum ini hanya dilihat di kaca televisyen. Pelbagai pesawat dipamerkan dan yang paling mencuri tumpuan ialah Sukhoi.


Pertunjukan Payung Terjun


Komando


Pakaian untuk jet pejuang


Sukhoi Malaysia.














Read more...

Thursday, June 23, 2011

Mencari Cucur Atap di Habitat Asal


Kali pertama mengunjungi rumah rakan di Setiu, Terengganu, saya begitu tertarik dengan deretan pasu yang tersusun rapi di laman rumahnya. Pokok-pokoknya rendah dan hanya mengeluarkan bunga putih yang sangat kecil, sebesar seekor semut sahaja saiz bunganya. Tetapi bunga putih itu sangat banyak dan cantik keluar di celah-celah daunnya. Batang pokok rendah itu kelihatan seperti pokok kayu besar yang sudah lebih seratus tahun usianya. Daunnya tirus dan terjuntai meliang-liuk ditiup angin, menambahkan lagi kecantikan pokok ini. Bila ditanya kepada rakan saya itu, apakah nama pokok yang sangat cantik ini, jawabnya ialah cucur atap, ada juga yang memanggilnya celoreng atap. Nama saintifiknya adalah Beackea Frutescens.

Bila diramas daunnya dan dihidu, ternyata aromanya sangat menyegarkan. Daun cucur atap ini boleh dibuat teh dan amat mujarab untuk untuk pelbagai penyakit sepeti demam kuning, demam campak, sakit kepala, melancarkan kitaran haid dan pelbagai lagi. Bukan sahaja berfaedah untuk kesihatan malah pokok cucur atap ini sangat bernilai tinggi apabila diubah menjadi bonsai.


Mencari Bonsai Cucur Atap


Di Terengganu ini, pokok cucur atap sangat banyak hidup subur terutamanya di kawasan tanah pamah beris yang lokasinya agak dekat dengan pantai. Cuaca, suhu dan keadaan tanah di sini menjadi medium yang paling sesuai untuk pokok Cucur Atap hidup subur meliar di kawasan yang tidak diusahakan. Di Kampung Lembah Bidong, Kampung Bari dan kampung sekitar Setiu ini banyak 'hutan' Cucur atap yang pastinya menjanjikan pokok-pokok terbaik kepada peminatnya untuk dibonsaikan.


Pokok ini boleh mencapai tinggi sehingga 6 meter. Pokok cucur atap yang hendak dibonsaikan perlu dicari dengan teliti untuk menentukan kecantikannya apabila diletakkan dalam pasu. Ianya sangat mudah untuk mati apabila ditempatkan di dalam pasu. Penjagaanya amat sukar dan perlu sentiasa disiram.


Memilih pokok cucur atap yang mempunyai bentuk yang menarik.


Pokok cucur atap yang sudah tua mempunyai bentuk banir yang sangat cantik untuk dibonsaikan. Selain itu, ia mempunyai jin (batang/cabang yang mati dan nampak tua) yang terhasil secara semula jadi akibat proses semulajadi seperti dipanah petir atau patah akibat ditiup angin. Namun Cucur Atap yang tua ini sukar hidup berbanding dengan Cucur Atap yang muda.


Batang Pokok Cucur Atap yang sudah dipasukan.
Sangat unik dan mempunyai nilai tersendiri.







Untuk Maklumat lebih Lanjut
mengenai Bonsai lawati Bonsai Kita

Read more...

Monday, June 13, 2011

Kejohanan Motorcross 2011


Kata orang, minat manusia ini adalah bermusim-musim. Satu masa dahulu pada tahun 90-an minat terhadap Ayam Serama menjadi fenomena. Hampir setiap rumah memiliki sekurang-kurangnya sebuah reban kecil untuk menempatkan ayam katik itu. Seterusnya musim kuda, minat terhadap kuda ini tidaklah begitu berleluasa kerana mungkin kosnya sangat mahal dan agak mustahil untuk dipelihara kerana harganya itu. Kini, di tahun 2011 ini minat terhadap basikal menjadi sesuatu yang tidak terbendung lagi. Hampir setiap hari kita akan dapat melihat basikal-basikal yang berwarna-warni berkumpulan berkayuh di atas jalan raya, tidak kira tua dan muda, semuanya berkayuh. Tidak tahulah sama ada untuk menyihatkan badan atau saja-saja mengikut trend semasa. Satu lagi minat yang timbul di tahun-tahun kebelakangan ini adalah motorcross dan cubcross.



Pada 11 jun 2011 baru-baru ini telah diadakan Kejohanan Motorcross anjuran Majlis Belia dan Persatuan Motorcross Besut bertempat di Bukit Keluang, Besut, Terengganu. Kejohanan ini juga adalah antara acara-acara yang dijalankan sempena Festival Pantai Bukit Keluang. Begitu banyak penyertaan dari peminat-peminat motorcross yang mahu mempamerkan kehebatan jentera mereka di litar yang mencabar ini. Ramai juga penonton yang datang bersorak memberikan sokongan kepada pelumba-pelumba yang diminati mereka. Penganjuran sukan bermotor ini menyemarakkan lagi minat di kalangan muda-mudi yang sentiasa inginkan cabaran.


Motor-motor kapcai yang tersadai lama diselongkar dan diubahsuai menjadi cubcross. 'Cover set', enjin dan tayarnya ditukar untuk menjadikannya lebih berkuasa.


















Read more...

Wednesday, June 8, 2011

Perlombongan Emas di Lubuk Mandi, Rusila



Kaedah palong digunakan untuk mencari emas


Pak Ali sering keluar masuk ke hutan di Lubuk Mandi, bila ditanya, jawabnya menoreh getah. Tapi apa yang dihairankan mengapa perlu dibawa cangkul dan kuali. Disiasat-siasat, Pak Ali mengorek tanah di tepi sungai di hutan itu, meletakkannya ke dalam kuali dan mengayakkannya. Timbul batu-batu kecil berkilau emas. Patut la tiba-tiba sahaja Pak Ali ada banyak duit. Berita penemuan Emas di Lubuk Mandi begitu cepat tersebar, dari orang kampung sehingga seluruh semenanjung gempar dengan penemuan batu yang berhantu ini. Ribuan orang sanggup datang dari jauh untuk sama-sama mencari dan mendulang emas. Hutan Lubuk Mandi yang dahulunya sepi, bertukar menjadi riuh-rendah bagaikan di tapak pesta.

Pernah diceritakan, banyaknya emas di Lubuk Mandi ini apabila dicabut sepohon pokok renek dan diambil tanah dari akar pohon itu, diletakkan di dalam kuali, diayak-ayak, akan timbullah emas. Ramailah penduduk-penduduk di sini dan pemburu-pemburu emas ini menjadi orang kaya baru. Cerita-cerita beginilah yang menjadikan Lubuk Mandi lebih dikunjungi ramai.

Bukan sahaja cerita gembira menjadi sejarah, turut tercalit banyak cerita duka di Lubuk Mandi ini. Ramai pencari emas yang datang, meninggalkan motor sahaja, tuannya entah kemana. Dikhuatiri tertimbus di dalam tanah dan langsung tidak disedari. Ramai juga yang mati dihempap oleh tanah dan juga batu-batu besar. Ramai yang cacat anggota tubuh. Diceritakan juga orang yang menghadapi kecelakaan ini mencari Emas pada hari Jumaat, di mana pada hari Jumaat ini terdapat kuliah agama yang disampaikan oleh seorang tokoh agama yang terkenal, berhampiran Lubuk Mandi ini.

Lebih 30 tahun berlalu, kini Lubuk Mandi sepi, namun masih ada pencari emas di sini, jumlahnya tidak seramai dahulu, hanya sekitar 20 orang hingga 30 orang. Mereka menjadikan emas di Lubuk Mandi ini sebagai pendapatan sampingan.


Kilang Emas di Lubuk Mandi


Perlombongan emas di sini merubah bentuk muka bumi, dari hutan tebal kepada banyak kolam-kolam yang ditinggalkan.


Palong











*Pak Ali bukan nama sebenar

Read more...

Thursday, June 2, 2011

Pameran Tamadun Islam, Batu Buruk

Alat pemotong tangan bagi kesalahan mencuri didatangkan dari Pattani, Thailand


Bertempat di Taman Awam Pantai Batu Buruk, pada 25 Mei - 13 Jun, telah diadakan satu pameran Tamadun Islam, dengan tema Evolusi keagungan Warisan dan Kesenian, Episod 1. Begitu banyak artifak-artifak didatangkan khas dari dunia Islam meliputi seluruh benua yang pernah disinari cahaya Islam. Pameran ini mengenengahkan keagungan Islam dari semua aspek. Apa yang jelas banyak tinggalan dari ramai tokoh Islam masih dapat dilihat oleh kita di Pameran Tamadun Islam ini. Tiket masuk yang diwar-warkan di banner dan bunting adalah RM 10 ringgit untuk dewasa, tetapi telah diturunkan kepada RM7 sahaja.


Alat untuk membuat minyak wangi.


Senjata tombak yang diukir dengan seni yang indah dan halus. Terdapat banyak lagi tombak yang mempunyai bentuk dan ukiran dipamerkan di Pameran ini.

Alat Pembedahan yang pernah digunakan oleh Ibnu Sina.


Kereta Kuda Kiai Pangeran Agung (1898) yang berasal dari kerajaan Solo. Dalam kerajaan Melayu Nusantara, terdapat beratus-ratus kereta kuda yang digunakan sebagai kenderaan rasmi kerajaan, Istana dan pembesar Agama.

Baju perang dari Kerajaan Uthmaniah dari kurun ke 17. Begitu halus dan cantik buatannya, Saiznya yang besar membuatkan kita terfikir tentang saiz badan askar yang pernah menggunakannya. Baju perang tentera kerajaan Uthmaniah ini adalah paling besar berbanding baju perang dari kerajaan Moro dan baju perang lain yang dipamerkan di sini.










Read more...
Share |

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP