Karnival Tanglung, Mid Autumm Festival, Kampung Cina
Di dalam budaya masyarakat Cina, tanglung (sky lantern) atau juga dikenali sebagai tanglung Kongming (Kongming Lantern) dilepaskan ke langit semasa menyambut Mid Autumm Festival. Perayaan ini secara tradisinya disambut pada hari kelima belas dalam bulan kelapan dalam kalendar Cina, iaitu pada bulan September atau awal Oktober. Pesta ini adalah pesta yang kedua paling penting selepas Festival Spring kepada masyarakat Cina. Setiap tahun apabila tiba perayaan dan festival mereka akan pulang untuk bertemu dengan keluarga dan makan malam dengan mereka.
Harapan dan hasrat ditulis di Tanglung sebelum dilepaskan ke langit.
Sambutan perayaan Mid-Autumm ini mempunyai sejarah sejak 3000 tahun lalu. Perayaan ini juga dianggap sebagai perayaan musim menuai. Makanan yang paling terkenal untuk festival ini ialah kuih bulan. Kuih bulan biasanya dibuat dengan biji tembikai, biji teratai, badam, daging cincang, kacang pes dan kulit oren. Warna kuning keemasan kuih bulan ini adalah dari telur itik dan kuih ini dihiasi dengan simbol-simbol perayaan. Perayaan ini disambut secara meluas di seluruh negara, dan merupakan salah satu daripada cuti perjumpaan keluarga masyarakat Cina. Pada hari itu, ahli keluarga Cina tinggal bersama-sama, mengagumi bulan penuh dan makan kuih bulan.
Di Terengganu, Festival Mid Autumm disambut dengan sangat meriah sekali terutamanya di Kampung Cina Kuala Terengganu. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Pertandingan Perhiasan Tanglung, Seni Kaligrafi Cina, Tarian Singa, Lampu Lotus, Orkestra Muzik Klasikal Cina, pertunjukan bunga api dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik yang bermula dari 9 September 2011 hingga 16 September 2011.
Mengapa Masyarakat Cina meraikan Pesta Tanglung ?
Terdapat banyak versi tentang lagenda mengapa masyarakat Cina melepaskan tanglung ke langit. Ini adalah salah satu kisah yang sangat masyhur di kalangan masyarakat Cina yang diceritakan sendiri oleh rakan Cina saya. Kisah ini bermula sejak dahulu di mana semua manusia hidup dalam kesengsaraan dan tiada makanan. Menurut lagenda ini, bumi pada ketika dahulu mempunyai 10 matahari, oleh sebab itulah berlaku satu musim panas yang amat melampau dan menyebabkan tidak ada tumbuhan dan hasil makanan.
Terdapat seorang perwira yang gagah yang bernama Hou Yi, beliau ingin memusnahkan kesemua matahari yang menyebabkan manusia sengsara. Apabila Hou Yi ingin memusnahkan matahari yang ke sepuluh seorang tua menahannya dari melakukan demikian kerana manusia memerlukan matahari untuk terus hidup. Sejak dari itu, bumi mempunyai satu matahari sahaja dan Hou Yi menjadi terkenal dan disayangi ramai. Hou Yi telah mengahwini seorang jelitawan bernama Chang Er. Mereka hidup bahagia tetapi terdapat juga penduduk kampung berasa iri hati terhadap mereka. Mereka melepaskan Tanglung ke udara, ke Bulan.
Oleh kerana Hou Yi sangat kuat dan mempunyai kemahiran dalam memanah dan memburu, ramai yang ingin berguru dengan Hou Yi. Seorang lelaki bernama Feng Meng telah menjadi murid Hou Yi. Feng Meng merupakan seorang yang jahat dan sebenarnya amat iri hati terhadap Hou Yi. Suatu hari Hou Yi pergi ke Kun Lun (gunung) untuk melawat rakannya. Dalam perjalanan Hou Yi bertemu dengan Wang Mu Nian Nian (isteri kepada Yu Wang Da Di). Hou Yi meminta pil (pil untuk hidup selamanya) daripada Wang Mu Nian Nian.
Oleh kerana Hou Yi terlalu menyayangi isterinya, Hou Yi tidak memakan pil tersebut dan meminta isterinya Chang Er menyimpannya. Malangnya, semua ini telah didengari oleh Feng Meng. Feng Meng ingin memiliki pil itu kerana dia ingin hidup selamanya. Pada suatu hari, Hou Yi keluar memburu dan meninggalkan Chang Er keseorangan di rumah. Feng Meng pergi ke rumah Chang Er dengan membawa sebilah pedang dan mengugut Chang Er supaya mendapatkan pil tersebut untuknya. Chang Er tidak tidak dapat melawan, lalu dia mengeluarkan pil tersebut dan menelan kesemuanya. Selepas itu, badan Chang Er mengeluarkan cahaya dan Chang Er menjadi 'immortal'(hidup kekal abadi), Chang Er kemudiannya naik ke bulan.
Pembantu rumah Chang Er yang menangis teresak-esak memberitahu Hou Yi apa yang berlaku petang itu. Hou Yi sangat terkejut dan marah. Hou Yi mahu membunuh Feng Meng tetapi Feng Meng berjaya melarikan diri. Hou Yi berasa amat sedih kerana kehilangan isterinya. Hou Yi berjalan ke luar rumah dan mengadapkan mukanya ke langit dan berteriak, "Chang Er!!", ketika itu, dia melihat bulan yang sangat indah, dan bulan yang indah itu sangat mirip dengan isterinya, Chang Er. Hou Yi berlari pantas ke arah bulan untuk mendapatkan isterinya, malangnya bulan tersebut juga lari dari dirinya. Hou Yi tidak dapat mendekati bulan tersebut. Hou Yi tidak mempunyai pilihan tetapi dia sangat menyayangi isterinya. Dia meminta pembantu rumahnya pergi ke taman (tempat yang suka dilawati Chang Er) dan menyediakan buah di situ, dengan maksud menyediakan buah itu untuk bulan dan juga untuk isterinya. Semua penduduk kampung yang mengetahui kisah ini mengikuti Hou Yi berbuat demikian, dan tradisi ini kekal hingga sekarang.
Persembahan pentas di Karnival Tanglung Kampung Cina 2011
0 comments:
Post a Comment