Showing posts with label Pengalaman Menarik. Show all posts
Showing posts with label Pengalaman Menarik. Show all posts

Thursday, June 23, 2011

Mencari Cucur Atap di Habitat Asal


Kali pertama mengunjungi rumah rakan di Setiu, Terengganu, saya begitu tertarik dengan deretan pasu yang tersusun rapi di laman rumahnya. Pokok-pokoknya rendah dan hanya mengeluarkan bunga putih yang sangat kecil, sebesar seekor semut sahaja saiz bunganya. Tetapi bunga putih itu sangat banyak dan cantik keluar di celah-celah daunnya. Batang pokok rendah itu kelihatan seperti pokok kayu besar yang sudah lebih seratus tahun usianya. Daunnya tirus dan terjuntai meliang-liuk ditiup angin, menambahkan lagi kecantikan pokok ini. Bila ditanya kepada rakan saya itu, apakah nama pokok yang sangat cantik ini, jawabnya ialah cucur atap, ada juga yang memanggilnya celoreng atap. Nama saintifiknya adalah Beackea Frutescens.

Bila diramas daunnya dan dihidu, ternyata aromanya sangat menyegarkan. Daun cucur atap ini boleh dibuat teh dan amat mujarab untuk untuk pelbagai penyakit sepeti demam kuning, demam campak, sakit kepala, melancarkan kitaran haid dan pelbagai lagi. Bukan sahaja berfaedah untuk kesihatan malah pokok cucur atap ini sangat bernilai tinggi apabila diubah menjadi bonsai.


Mencari Bonsai Cucur Atap


Di Terengganu ini, pokok cucur atap sangat banyak hidup subur terutamanya di kawasan tanah pamah beris yang lokasinya agak dekat dengan pantai. Cuaca, suhu dan keadaan tanah di sini menjadi medium yang paling sesuai untuk pokok Cucur Atap hidup subur meliar di kawasan yang tidak diusahakan. Di Kampung Lembah Bidong, Kampung Bari dan kampung sekitar Setiu ini banyak 'hutan' Cucur atap yang pastinya menjanjikan pokok-pokok terbaik kepada peminatnya untuk dibonsaikan.


Pokok ini boleh mencapai tinggi sehingga 6 meter. Pokok cucur atap yang hendak dibonsaikan perlu dicari dengan teliti untuk menentukan kecantikannya apabila diletakkan dalam pasu. Ianya sangat mudah untuk mati apabila ditempatkan di dalam pasu. Penjagaanya amat sukar dan perlu sentiasa disiram.


Memilih pokok cucur atap yang mempunyai bentuk yang menarik.


Pokok cucur atap yang sudah tua mempunyai bentuk banir yang sangat cantik untuk dibonsaikan. Selain itu, ia mempunyai jin (batang/cabang yang mati dan nampak tua) yang terhasil secara semula jadi akibat proses semulajadi seperti dipanah petir atau patah akibat ditiup angin. Namun Cucur Atap yang tua ini sukar hidup berbanding dengan Cucur Atap yang muda.


Batang Pokok Cucur Atap yang sudah dipasukan.
Sangat unik dan mempunyai nilai tersendiri.







Untuk Maklumat lebih Lanjut
mengenai Bonsai lawati Bonsai Kita

Read more...

Tuesday, May 17, 2011

Trip Mencandat Sotong 2011








" Jom gi candat sotong! nak tak?" tanya seorang rakan dari Kota Bharu kepada saya. Saya baru sahaja mengenalinya. Itupun melalui blog. Saya terus menempah bot untuk mencandat sotong di Marang, Terengganu. Naik harga ke tak sewa bot ni? minyak dah beberapa kali naik. Saya membuat panggilan kepada Pok Joe (019-9537522), Tekong Bot di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Marang, Pok Joe menawarkan harga sama seperti tahun lepas iaitu RM6oo semalaman. Semua alatan disediakan, mata candat, tali, dan macam-macam lagi, sehinggakan mata kail untuk memancing Tenggiri pun disediakan. Beras, kopi, tea, gula dan alat memasak juga disediakan. Pok Joe juga akan memasak kari sotong untuk kami katanya.

Namun begitu, timbul kerisauan apabila pada minggu pertama bulan Mei 2011 ini, cuaca sangat tidak menentu, sekali-sekala hujan, sekali sekala panas terik, dan sekali sekala langit gelap bagaikan mahu taufan. Kata nelayan, musim ni musim angin Barat, cuacanya agak tidak menentu. Kalau ikut bulan pun, bulan separa. Sebenarnya waktu yang paling baik untuk mencandat sotong ialah semasa bulan mengambang penuh, kerana sotong amat tertarik kepada cahaya terang.



Usai solat asar, kami menaiki bot nelayan yang disewa, RM 600 sebuah bot, maknanya RM 60 seorang. "Wah!! mahalnya, baik beli sotong kat pasar je!, beberapa orang rakan bergurau apabila diajak sama untuk mencandat sotong. Walaupun harga sewa bot dikatakan agak mahal, itu bukan menjadi penghalang untuk merasai nikmat mencandat sotong di Marang, Terengganu ini, lebih jelasnya, mencandat di belakang Pulau Kapas ini.



Malam itu, cuaca sangat baik, sesekali juga bimbang apabila bot terhayun kuat oleh gelombang ombak yang sekali-sekala datang. Walaupun laut tidak bergelora, arus di bawah sangat kuat, mata candat yang dilontar pergi jauh ke belakang, tidak ke bawah. Pada pukul 3-5 pagi, arus semakin perlahan dan inilah masa yang paling sesuai untuk menaikkan sotong yang sebesar lengan. Waktu yang paling banyak sotong dinaikkan ialah pada waktu maghrib dan waktu subuh.


Bulan separa


Sotong yang gemuk, montel dan segar.


Makan sotong segar di atas Bot


Tandas yang selesa di atas bot
















Read more...

Wednesday, November 3, 2010

Seuntai Kata, Segemal Harapan


Pada 2 November 2010, hampir 7 bulan saya menyertai Pertandingan Blog Pelancongan Negeri Terengganu. Pada awal Mei lalu, saya terbaca iklan tentang Pertandingan Blog ini di akhbar TeganuKita, lidah rasmi kerajaan Negeri Terengganu yang diterbitkan oleh Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM). Terdetik di hati untuk menyertai pertandingan ini, alang-alang sudah ada banyak gambar yang diambil dan banyak tempat yang menarik di Terengganu sudah dilawati. Siap sahaja membina sebuah blog dan memindahkan cerita-cerita dari blog lama, saya terus mendaftar secara online di blog urusetia pertandingan.



Masa, usaha dan semangat dicurah untuk menjelajahi segenap ceruk Negeri Terengganu bagi mendapatkan cerita-cerita menarik mengenai Negeri Terengganu. Saya akui, sebagai seorang guru pelatih yang kini menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, kekangan masa antara cabaran utama yang perlu ditangani selain dari masalah kewangan dan tugas-tugas yang perlu diselesaikan. Namun itu semua tidak menjadi penghalang, hari minggu dan cuti sekolah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan segala maklumat dan gambar-gambar untuk dimuatkan dalam blog.



Banyak ilmu dan pengalaman yang saya perolehi sepanjang menyiapkan blog ini, terutamanya tentang bagaimana cara untuk membina laman blog, mendapatkan tempat di enjin carian, interaksi interpersonal dan juga dapat melatih diri untuk menulis. Walaupun pertandingan sudah tamat, Insyaallah saya akan terus menulis tentang Negeri Terengganu kerana banyak lagi tempat yang tidak sempat dilawati dan kisah yang tidak diceritakan.



Syukur ke hadrat Illahi ke atas nikmat dan jutaan terima kasih diucapkan kepada ibu bapa, pensyarah-pensyarah IPG Kampus Sultan Mizan, dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan, semangat dan tunjuk ajar sehingga terhasilnya blog ini dan berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi. Terima Kasih juga kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar Y.A.B Dato' Seri Ahmad Said kerana terus komited membangunkan Negeri Terengganu dari segenap aspek dan memberi peluang kepada rakyat Negeri Terengganu dan rakyat Malaysia amnya untuk mempromosikan sendiri pelancongan Negeri Terengganu dengan media yang paling berkuasa kini iaitu internet.




Read more...

Wednesday, October 6, 2010

Graham dan Emma di Muzium Terengganu


Selesai melawat Muzium Terengganu, rakan saya dari Kedah meminta saya merakamkan gambarnya di hadapan muzium sebagai kenangan. Jam ketika itu menunjukkan waktu 4.30 petang, hanya setengah jam sahaja lagi muzium akan ditutup. Sedang bergambar, datang sebuah teksi yang membawa dua orang pelancong asing berhenti betul-betul di hadapan kami. Dengan tergesa-gesa mereka memanjat tangga muzium untuk masuk. Teksi berlalu pergi, saya melihat dua pelancong asing turun dari tangga dengan wajah hampa. Mungkin muzium sudah ditutup, kata rakan saya. Saya bertanyakan kepada pelancong asing tersebut, dan memang benar muzium telah ditutup. Saya mencadangkan kepada mereka supaya melawat kawasan sekitar muzium kerana terdapat perkara menarik di sekitar Muzium Terengganu seperti Kapal dan perahu lama, Rumah Melayu Lama, pemandangan Sungai Terengganu, dan Taman Burung.



Kedua suami isteri ini merupakan pelancong dari Australia dan baru pulang dari Pulau Perhentian. Mereka menceritakan kepada saya mereka tiba dari Pulau Perhentian ke D'Riyaz pada hari Jumaat. Kata mereka, sangat sukar untuk mendapatkan kenderaan awam atau teksi pada hari tersebut. Oleh kerana mereka tidak menyimpan sebarang nombor teksi dan teksi yang mereka naiki tadi telah berlalu, saya menawarkan kenderaan untuk mereka pulang ke resort. Sebelum itu, saya mengajak mereka bersiar-siar di Taman Tamadun Islam memandangkan jarak yang tidak berapa jauh dari Muzium Terengganu. Kami juga ke Perkampungan Keropok Losong. Begitu gembira saya melihat mereka begitu menggemari keropok lekor yang dicicah dengan kuah lada itu. Ini merupakan kali pertama mereka makan keropok lekor.


Menceritakan kepada Graham dan Emma tentang Terengganu.


Melihat sampan kayu lama di luar Muzium Terengganu.

Muzium Terengganu merupakan Kompleks muzium yang terbesar di Asia Tenggara yang menempatkan empat blok utama selain muzim maritim dan rumah tradisional.


Bergambar bersama Graham dan Emma di Rumah Lama Terengganu


Melawat Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal

Setelah bertukar-tukar emel, saya meneruskan perjalanan pulang ke Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut. Pengalaman bersama mereka sangat menarik, di samping dapat menambahbaikkan Bahasa Inggeris, saya juga boleh mengetahui pengalaman mereka di negara-negara yang pernah mereka lawati dan juga mempromosikan Negeri Terengganu semestinya.







Alamat :
Lembaga Muzium Negeri Terengganu Bukit Losong 20566 Kuala Terengganu Terengganu
Telefon : 609 - 622 1444
Faks : 609 - 623 1209
Email : webmaster@muzium.terengganu.gov.my

Read more...

Thursday, September 16, 2010

Memburu Sepit Biru di Sungai Terengganu


Sungai Terengganu mengalir tenang dari Hulu Kuala Berang ke Kuala Terengganu. Sekali musim bah, arusnya menggoncangkan sangkar-sangkar ikan yang berada di sepanjang sungai bersejarah ini. Paling dibimbangi pemilik sangkar, kayu balak yang hanyut akan memusnahkan sangkar-sangkar ikan. Penantian selama 6 bulan untuk memungut hasil akan lenyap begitu sahaja. Inilah realiti yang berlaku saban tahun dalam kalendar pengusaha ikan sangkar di pesisir Sungai Terengganu.

(Klik untuk lihat Video)

Sungai Terengganu sangat kaya dengan pelbagai spesis hidupan air tawar kerana sungai ini dalam dan lebar. Ia telah menjadi nadi kepada kehidupan rakyat Terengganu sejak zaman dahulu lagi. Batu bersurat yang dijumpai di Padang Tara, di tepi Sungai Tara, Kuala Berang pada 1887 sangat berkait rapat dengan Sungai Terengganu. Ia membuktikan Sungai ini pernah menjadi laluan penting kapal-kapal dagang. Menurut catatan sejarah, Kuala Berang atau dikenali dengan nama ' Foloan' merupakan pusat perniagaan dan menjadi tumpuan suatu ketika dahulu.


Memburu Sepit Biru


Melihat hujung mata kail yang terhenjut-henjut

Apabila masa terluang, aktiviti memancing di sungai menjadi pilihan. Namun kali ini bukanlah sotong atau ikan yang menjadi buruan, tetapi udang galah atau lebih dikenali sebagai 'Sepit Biru' di kalangan kaki pancing. Berbeza dengan memancing ikan, memancing udang memerlukan kepekaan yang lebih tinggi pemancing kerana libasan ikan agak berbeza dengan sentapan Sepit Biru. Seringkali hujung mata kail terhenjut-henjut, tetapi jika tidak kena cara tariknya, hanya mata kail kosong akan diangkat. Sungai Terengganu terkenal sebagai lokasi untuk memancing udang galah dan juga pelbagai jenis ikan air tawar lain.

Umpannya tidak perlu dibeli, hanya perlu membawa penangguk. Anak-anak udang yang bermain-main di bawah daun kiambang dan rumput-rumput di tepi sungai ditangguk, dicangkukkan ke mata kail dan dibuang kepalanya. Lontarkan mata kail ke dasar sungai, biarkan batu ladung tergantung begitu hampir dengan dasar sungai, supaya pergerakan mata kail dapat dikesan. Mata tidak akan mengantuk jika sentiasa ada yang menarik-narik mata kail, malah bertambah segar apabila ditarik kuat dan berjaya menaikkan udang galah.


(Klik untuk lihat Video)


Pemandangan di pesisir Sungai Terengganu.


Pelbagai jenis ikan dipelihara dalam sangkar di pesisir sungai ini seperti ikan Talapia, ikan Baung ikan Patin dan lain-lain lagi. Ikan yang dipelihara di Sungai lebih segar dan bersih kerana airnya mengalir.







Read more...

Sunday, September 5, 2010

Solat Terawih bersama Imam Arab




Seperti tahun yang sudah, Ramadhan di Terengganu diceriakan dengan kehadiran Imam-Imam yang didatangkan khas dari Mesir dan Arab Saudi. Imam-Imam ini ditempatkan di masjid-masjid terpilih yang menjadi tumpuan ramai di sekitar negeri Terengganu ini.

Kelainan dapat dirasakan kerana bacaan Imam-Imam ini menusuk ke kalbu dan sangat menyentuh hati kerana suara bacaan Al-quran yang jelas dan merdu. Ia memberi pengalaman yang baru kepada sesiapa yang belum bergelar Haji.


(Klik untuk dengar Bacaan)


Seramai 10 Imam telah didatangkan dari Arab Saudi dan 21 lagi dari Mesir. Ini dapat meningkatkan lagi minat para jemaah untuk memenuhi masjid-masjid bagi menunaikan solat terawih. Di samping menghayati bacaan Imam, kita dapat mempelajari tajwid dan mengenali qiraat-qiraat yang berbeza dari mereka. Malah selepas lapan rakaat, masih ramai jemaah yang menyambung solat sunat Terawih ini sehingga ke 20 rakaat. Di 10 akhir Ramadhan ini, para jemaah dijemput hadir beramai-ramai berqiamulail di masjid masjid ini pada pukul 3.30 pagi. Semoga Ramadhan kali ini lebih diberkati.










Read more...

Saturday, September 4, 2010

Musim Buah



Walaupun musim buah tahun ini tiba dekat dengan bulan Ramadhan, kemeriahan tetap terasa. Buah durian kampung berbuah lebih awal, iaitu beberapa minggu sebelum tibanya bulan puasa. Saya sangat beruntung kerana keluarga saya memiliki dusun sendiri. Tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membeli buah durian dan buah-buahan lain.


Selain diikat di pokok, pukat juga direntangkan di bawah pokok untuk mengelakkan durian jatuh terus ke tanah.

Apa yang menarik yang ingin saya ceritakan di sini ialah cara bagaimana buah durian dipungut. Berbeza dengan durian kampung, durian 'kahwin' agak cerewet untuk dijaga kerana ia sangat besar dan lebih berat berbanding dengan durian biasa. Sekiranya ia jatuh ke tanah, ia akan pecah dan ini akan merosakkan kualiti buah sekiranya dipungut keesokan harinya. Oleh itu, durian kahwin ini perlu diikatkan dengan tali di dahan supaya ia tidak jatuh terus ke tanah. Selain menjaga buah durian dari rosak, ia juga dapat mengelakkan buah durian dari dimakan babi hutan yang amat gemarkan buah durian.

Semua daerah di Negeri Terengganu menjadi meriah apabila tibanya musim buah kerana terdapat banyak dusun buah-buahan di negeri ini, oleh sebab itu, harga buah-buahan boleh didapati dengan harga yang agak murah. Cara yang terbaik untuk membeli buah-buahan yang segar ialah menelusuri jalan-jalan kampung terutamanya di jalan ke Wakaf Tapai, atau di Pasir Akar (jalan ke Lata Tembakah, Lata Belatan, dan La Hot Spring). Aroma buah-buahan begitu terasa apabila anda melalui jalan-jalan kampung. Selain itu anda juga boleh ke Taman Pertanian Sekayu kerana di sana terdapat banyak pohon buah-buahan. Anda juga boleh memetik sendiri buah-buahan di sini dan kadar bayaran yang dikenakan sangatlah berpatutan.


Bapa saya yang begitu berani memanjat pokok durian kahwin yang sangat tinggi.



Rambai

Rambutan

Durian yang dipungut.

Selain babi hutan, tupai merupakan musuh utama apabila tibanya musim buah.


Duku

Salak

Manggis


Raja Buah

Pulasan










Read more...

Friday, August 13, 2010

Mencari Madu Lebah Liar di Kampung Bari, Setiu bersama Pak Mad


Gembira tidak terkira, apabila diberitahu rakan saya, ayahnya telah menjumpai sekawan lebah bersarang di sepohon pokok di hutan Kampung Bari Besar, Setiu, Terengganu. Memang sudah lama saya menantikan panggilan untuk menjejak lebah madu liar di Kampung Bari, Setiu ini, kerana kampung ini amat terkenal dengan madu aslinya. Tepat jam 3.00petang, kami terus bertolak ke Kampung Bari Besar, Setiu, Terenganu.


Kami disambut mesra oleh Pak Mad yang ketika itu sedang menyiapkan 'jamung', untuk menghalau lebah bagi mengambil madunya. Sabut kelapa yang tidak terlalu tua diasingkan dari kulit keras luar, dibalut bersama daun Pokok Cucur Atap. Pokok Cucur Atap ini sangat terkenal di kalangan peminat-peminat Bonsai. Daun ini digunakan kerana boleh menghasilkan banyak asap bagi menghalau lebah.


Sabut kelapa diletakkan di tengah-tengah, dibalut dengan daun Cucur Atap. Selain daun Cucur Atap, daun palas juga biasa digunakan oleh pencari madu lebah. Untuk menjadikan 'jamung' tesebut lebih kukuh, ia diikat dengan dawai.



Pak Mad membersihkan bekas yang akan digunakan untuk mengambil madu di atas pokok.













Pak Mad memberitahu saya, semasa memotong sarang lebah, pisau besi tidak boleh digunakan, kerana dibimbangi lebah tidak akan bersarang semula di tempat yang sama. Kebiasaanya, sebatang kayu diasah menjadi seperti pisau. Kayu seperti pisau ini digunakan untuk mengerat sarang lebah itu.




Sebelum memanjat pokok yang mempunyai sarang lebah tersebut, jamung diperasapkan.














Pak Mad menutup kepala dengan kain bagi mengelakkan sengatan lebah.


Sarang Lebah yang mengandungi madu.





Makan sarang lebah berserta madunya. Sangat sedap dan asli !


Madu Asli

Menurut Pak Mad terdapat beberapa cara bagi mengesan kedudukan sarang lebah liar di dalam hutan. Cara yang biasa digunakan ialah menjejak lebah semasa lebah tersebut mencari madu di tempat yang mempunyai banyak bunga. Cara ini memerlukan kemahiran dan pengalaman yang tinggi kerana agak sukar untuk mengesan ke mana arah lebah itu pergi setelah mengambil madu bunga tersebut. Pencari madu lebah juga perlu biasa dengan keadaan hutan untuk mengesan lebah madu yang biasanya bersarang di pokok-pokok besar dan tinggi.


Bergambar kenangan bersama Pak Mad





Menempah madu Asli :
014-5082140 ( Mat Jusoh)




Read more...
Share |

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP