Showing posts with label Tempat Menarik. Show all posts
Showing posts with label Tempat Menarik. Show all posts

Saturday, August 27, 2011

Masjid Al-Jamhuriah, Kuala Besut

Masjid Al-Jamhuriah Kuala Besut


Ramadhan tahun ini adalah Ramadhan ke enam saya berkelana mencari ilmu di Bumi Besut, bumi bertuah, bumi Ulul-Albab ini, dan tahun ini merupakan tahun terakhir saya di sini, entah di bumi mana pula berpijak untuk Ramadhan tahun depan. Ramadhan di sini sangat ceria dengan jemaah yang ramai dan semestinya moreh yang disediakan sangat dinantikan kanak-kanak. Apa yang paling menarik di sini ialah selepas sahaja solat terawih, setiap gerai-gerai kedai makan di sekitar Besut ini bertukar menjadi gerai colek buah, kerang bakar, dan makanan lain, sama meriahnya gerai-gerai colek buah ini seperti di negeri Kelantan.

Terfikir juga di benak fikiran mengapa tiada masjid besar di Pekan Kuala Besut ini, sedangkan penduduk di sini sangat padat sehinggakan di kawasan ini terdapat empat buah sekolah rendah yang letaknya sangat berhampiran iaitu Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 1, Sekolah Kebangsaan Kuala Besut 2, Sek. Keb. Nail dan Sek. Keb Alor Peroi. Rupanya sangat banyak surau dan masjid kecil dibina sangat berdekatan. Berdekatan Masjid Al-Jamhuriah Kuala Besut ini terdapat sebuah surau lagi bersebelahan kedai-kedai yang menjadi tumpuan pelancong asing. Di depan Masjid Al-Jamhuriah ini terdapat sebuah lagi surau kayu, tetapi Masjid Al-Jamhuriah ini yang paling menjadi tumpuan.

Masjid Al-Jamhuriah ini menjadi lambang dan identiti Pekan Kuala Besut kerana keistimewaan dan bentuk masjid ini. Ia menjadi mercu tanda Kuala Besut, sebuah pekan yang amat terkenal sebagai pekan pelancongan kerana menjadi pintu masuk utama ke Pulau Perhentian. Masjid ini mempunyai sejarah tersendiri kerana telah dibina sejak tahun 1345 Hijrah bersamaan 1926 Masehi. Bersebelahan Masjid ini juga terletak tanah perkuburan Islam lama.


Kemasan Kayu terukir 99 nama Allah di Mihrab Masjid Al-Jamhuriah



Rekabentuk mimbar yang sangat menarik


Motif ukiran flora yang menghiasi setiap tiang di ruang solat utama.
Tarik dibina masjid ini terukir di situ.


Dewan solat Utama















gambar dari Shafiq

Read more...

Wednesday, June 1, 2011

Pulau Warisan, Kampung Cina


Menikmati malam di Pulau Warisan, Kampung Cina, Kuala Terengganu.

Mungkin ramai yang tidak perasan mercu tanda terbaru Terengganu di belakang Kampung Cina merupakan sebuah Pulau yang dipisahkan dengan sebuah terusan kecil. Ianya adalah sebuah lagi usaha murni dari kerajaan Negeri Terengganu untuk terus menjadikan Terengganu sebagai destinasi pelancongan ternama. Banyak struktur yang dibina mempamerkan gabungan senibina Melayu, Cina dan moden terutamanya binaan pintu gerbang dan motif flora yang menghiasinya. Nampak menarik di waktu siang, lebih indah pemandangannya di waktu malam.



Lokasi Pulau Warisan ini adalah di belakang Kampung Cina, Kuala Terengganu




Gerbang Pulau Warisan




Terusan 'venice' ini boleh ditelusuri dengan TTI Cruise, iaitu di Taman Tamadun Islam di Pangkalan Tokku Paloh. Dengan caj sebanyak RM10 dua hala, para penumpang dibawa menyusuri sungai Terengganu antaranya Muzium Negeri, Pulau Sekati, Bukit Datu, Pengkalan Baru, Seberang Tuan Chik, Pulau Haji Siah, Pembuatan Bot Seberang Bukit Tumbuh, Bazaar Warisan, Pasar Kedai Payang dan pelbagai lagi tempat yang dapat dilihat dari Sungai Terengganu.







Read more...

Sunday, May 8, 2011

Pantai Mangkuk, Setiu



Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa Pantai yang paling tenang dan cantik di Negeri Terengganu ini ialah tiga pantai yang bersempadan iaitu Pantai Bari, Pantai Penarik dan Pantai Mangkuk (nama kampung). Deretan pantai ini terletak di Penarik, dalam daerah Setiu. Seperti daerah-daerah tepi pantai lain di Terengganu ini, suasana yang biasa dilihat adalah nelayan yang baru pulang dari laut dan juga budak-budak pantai yang berlari-lari dan bermain-main sesama mereka. Kalaulah dapat kembali ke masa lalu, ingin sekali saya melihat pantai-pantai ini lebar dan luas tanpa hakisan. Menjadi tabiat kanak-kanak yang tinggal di tepi pantai, seperti juga saya dahulu, bermain-main di tepi pantai, mencari-cari remis dan juga kulit telur sotong. Perkara yang wajib semestinya bermandi-manda.


Rumah Melayu Tradisional di Terrapuri Resort




Di Pantai Mangkuk ini, terdapat sebuah resort yang menempatkan rumah-rumah Melayu tradisional Terengganu. Menurut Abang Li, pengawal Terrapuri Resort ini, rumah-rumah tradisional Melayu Terengganu ini dibawa dari kampung-kampung lama Terengganu seperti Kampung Paloh, Manir, Losong dan pelbagai kampung lagi di Terengganu ini, dan nama-nama rumah ini dinamakan mengikut tempat di mana rumah itu diambil. Resort ini mengandungi 29 buah rumah yang juga diinpirasikan daripada senibina Melayu dari abad ke 17. Terrapuri akan mula dibuka kepada tempahan umum mulai 1 Jun 2011 ini.



Di sekitar kampung ini juga terdapat sungai dan paya bakau yang menjadi habitat kepada haiwan seperti tuntung dan juga kunang-kunang, menurut Abang Li lagi, ramai penduduk di kampung ini menjadi ayah dan ibu angkat kepada pelajar-pelajar Universiti Malaysia Terengganu (dahulunya dikenali sebagai Kustem) yang menjalankan kajian mengenai hidupan laut dan sungai di sini. Malah, terdapat penyelidik dari luar negara seperti Amerika dan China turut menjalankan kajian yang sama.



Sampan dan Rumah Lama yang menghadap laut cina selatan, simbol keunikan Terengganu.




Sungai di Kampung Mangkuk



















Read more...

Tuesday, February 22, 2011

Menenangkan fikiran di Lata Ulu Kekabu



Memang agak memenatkan, apabila anak murid di tahun satu atau tahun dua sering mengadu tentang kelakuan sesama mereka di dalam kelas. Memang agak memenatkan, saban hari melatih atlet sekolah untuk mewakili sekolah di pertandingan olahraga peringkat daerah tidak lama lagi. Tapi itulah yang perlu ditempuhi untuk erti seorang guru.

Saya menjalani praktikal untuk mengajar di Sekolah Kebangsaan Kampung Oh, Besut. Kampung ini sangat berhampiran dengan Lata Belatan, Lata Tembakah, La Hot Spring dan juga tempat makan yang paling popular di kawasan ini iaitu Satay Lanang Jabi. Ternyata di Besut dan Setiu ini sangat banyak kawasan air terjun dan sungai yang sangat cantik dan tidak tercemar.



Apabila waktu terluang, saya gemar ke tempat-tempat ini untuk menenangkan fikiran dan berekreasi bersama rakan-rakan. Tempat paling digemari oleh kami ialah di Lata Ulu Kekabu, Pancur Merah, Setiu. Selain bermandi-manda kami juga memancing di celah-celah batu besar. Seorang rakan saya pula amat gemar mengumpul batu-batu yang berbentuk unik.





Sedang ralit kami memancing di celah-celah batuan besar, timbul kura-kura yang kami sangkakan batu pada mulanya. Seperti tidak menghiraukan mata pancing kami, kura-kura tersebut tetap melahap umpan roti. Kami mengambil keputusan menyimpan joran dan memberi makan kura-kura itu.

Tidak dapat dipastikan jenis ikan ini sama ada anak sebarau, tengas atau kelah. Tapi ikan-ikan bersaiz sebesar tapak tangan ini begitu banyak bermain di celah-celah batu dan kami berjaya memancing ikan ini lebih dari sepuluh ekor.



Air sungai yang sangat jernih dan dingin





























Read more...

Wednesday, February 16, 2011

Pantai Batu Pelanduk


Pantai Batu Pelanduk


Pantai Batu Pelanduk terletak berhampiran Pantai Rantau Abang, Dungun Terengganu, kira-kira 70 km dari Kuala Terengganu. Ia menjadi pilihan bagi mereka yang melewati jalan pantai ke Kuantan atau ke Kuala Lumpur. Rehatkan minda sebentar dan luangkan masa berekreasi bersama keluarga setelah berhenti rehat di sini. Walaupun agak terkesan dengan hakisan ombak yang menyebabkan pantai Batu Pelanduk ini menjadi semakin terhakis, namun pantai ini masih cantik, bersih dan semestinya memiliki keistimewaan tersendiri. Terdapat bentuk batu yang unik di pantai ini yang membolehkan kita menikmati pemandangan pantai ini dari aras tinggi.


Batuan unik di Pantai Batu Pelanduk













Read more...

Wednesday, December 15, 2010

Trip Memancing di Tasik Kenyir



Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Empangan Kenyir adalah ketika berusia 10 tahun. Ketika itu saya mengikuti lawatan sambil belajar ke Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud. Tetapi rombongan kami tidak dapat memasuki tempat Janakuasa Elektrik atas alasan yang saya pun tidak berapa mengerti ketika itu. Guru kami mengambil inisiatif menyewa rumah bot dan membawa kami bersiar-siar ke sekitar Tasik Kenyir dengan bayaran RM 2.oo seorang.

Mendaftar sebelum memasuki Taman Negara

Dua belas tahun selepas itu, barulah saya sampai semula ke Tasik Kenyir ini dengan trip memancing bersama rakan-rakan. Usai sarapan, kami bertolak ke Stesen JanaElektrik Sultan Mahmud, rumah bot yang kami sewa berpengkalan di sini, tidak di pengkalan Gawi. Dari sini kami bertolak ke kawasan lubuk ikan yang terletak berhampiran Sungai Cacing. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 5 jam.



Lampam dikail menggunakan umpan palet.



Sebaik sahaja tali rumah bot diikatkan di tunggul balak, kami terus mencangkukkan umpan ke mata kail dan mencuba nasib. Rumah bot kami 'disinggah' beratus-ratus ekor Lampam yang bersaiz tapak tangan. Bagi pemancing 'beginner' seperti saya mendapat seekor ikan sudah memadai. Petang itu sahaja berpuluh ekor Lampam berjaya dikail. Umpan sawit saya tidak mengena, tetapi umpan sawit rakan disambar Kelah sebesar lengan ahli gusti. Memang adat memancing, lain umpan, lain ikannya, jika umpan kelah ialah sawit, umpan toman pula ialah anak ikan. Di waktu malam pula, ikan temperas begitu galak menyentap cengkerik.


Toman mudah dijinakkan menggunakan umpan anak keli atau ikan seluang



Trekking ke Lubuk Kelah di Sungai Terenggan, Tasik Kenyir


Pada hari kedua, kami dibawa ke Sungai Terenggan di mana banyak spesis kelah dan sebarau bermain-main di celah batu melawan aliran sungai yang deras. Kami berjalan kaki sejauh 2 kilometer meredah anak sungai yang paling dalam pun hanya paras dada. Sesekali sekumpulan memerang keluar dari sungai menyusup ke semak. Banyak sisik dan tulang-tulang ikan di tepian Sungai Terenggan ini menandakan lubuk ikan di sini menawarkan tangkapan lumayan.


Teknik Casting digunakan untuk menawan Kelah dan Sebarau.






Toman


Sebarau




Bagi saya, 3 hari 2 malam di sini begitu menenangkan. Suasana yang begitu nyaman amat mententeramkan jiwa. Bukan setakat memancing, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, meluangkan masa bersama rakan atau keluarga, melawat ke tempat menarik seperti Gua Bewah dan Taat, Air Terjun Lasir atau 'birdwatching' atau ke Santuari Kelah.




Untuk pengalaman menarik ini,
Hubungi Dolah, tekong Rumah bot yang mesra
di 0148429812


Read more...

Saturday, October 30, 2010

Hutan Lipur Cangkah Dua



Hutan Lipur Cangkah Dua tidaklah sepopular hutan lipur lain di Terengganu seperti Sekayu, Lata Tembakah, Lata Belatan, Lata Payong, Cemerung, Bumbung Raja atau Rasau Kerteh. Saya sendiri tidak pernah mendengar nama Hutan Lipur Cangkah Dua apabila disebut oleh pensyarah kami yang ingin mengadakan perkhemahan di sana.

Hutan Lipur Cangkah Dua terletak di Permaisuri, Setiu, Terengganu. Ia mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit dari Kuala Terengganu dan jaraknya adalah kira-kira 70 km. Tiada papan tanda yang khusus menunjukkan jalan ke hutan lipur ini. Kami menjadikan papan tanda ke Kampung Besut untuk ke hutan lipur ini. Dari Bandar Permaisuri kami meneruskan perjalanan sejauh 13 km lagi ke Hutan Lipur Sungai Cangkah .


Udara yang nyaman di Hutan Lipur Sungai Cangkah


Pelbagai kemudahan disediakan untuk kegunaan pelawat seperti tandas dan pondok rehat.








Air Sungai yang jernih dan dingin di Hutan Lipur Cangkah Dua










-Klik untuk besarkan-






Read more...
Share |

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP