Sunday, May 8, 2011

Pantai Mangkuk, Setiu



Tidak keterlaluan jika saya mengatakan bahawa Pantai yang paling tenang dan cantik di Negeri Terengganu ini ialah tiga pantai yang bersempadan iaitu Pantai Bari, Pantai Penarik dan Pantai Mangkuk (nama kampung). Deretan pantai ini terletak di Penarik, dalam daerah Setiu. Seperti daerah-daerah tepi pantai lain di Terengganu ini, suasana yang biasa dilihat adalah nelayan yang baru pulang dari laut dan juga budak-budak pantai yang berlari-lari dan bermain-main sesama mereka. Kalaulah dapat kembali ke masa lalu, ingin sekali saya melihat pantai-pantai ini lebar dan luas tanpa hakisan. Menjadi tabiat kanak-kanak yang tinggal di tepi pantai, seperti juga saya dahulu, bermain-main di tepi pantai, mencari-cari remis dan juga kulit telur sotong. Perkara yang wajib semestinya bermandi-manda.


Rumah Melayu Tradisional di Terrapuri Resort




Di Pantai Mangkuk ini, terdapat sebuah resort yang menempatkan rumah-rumah Melayu tradisional Terengganu. Menurut Abang Li, pengawal Terrapuri Resort ini, rumah-rumah tradisional Melayu Terengganu ini dibawa dari kampung-kampung lama Terengganu seperti Kampung Paloh, Manir, Losong dan pelbagai kampung lagi di Terengganu ini, dan nama-nama rumah ini dinamakan mengikut tempat di mana rumah itu diambil. Resort ini mengandungi 29 buah rumah yang juga diinpirasikan daripada senibina Melayu dari abad ke 17. Terrapuri akan mula dibuka kepada tempahan umum mulai 1 Jun 2011 ini.



Di sekitar kampung ini juga terdapat sungai dan paya bakau yang menjadi habitat kepada haiwan seperti tuntung dan juga kunang-kunang, menurut Abang Li lagi, ramai penduduk di kampung ini menjadi ayah dan ibu angkat kepada pelajar-pelajar Universiti Malaysia Terengganu (dahulunya dikenali sebagai Kustem) yang menjalankan kajian mengenai hidupan laut dan sungai di sini. Malah, terdapat penyelidik dari luar negara seperti Amerika dan China turut menjalankan kajian yang sama.



Sampan dan Rumah Lama yang menghadap laut cina selatan, simbol keunikan Terengganu.




Sungai di Kampung Mangkuk



















1 comments:

zaharum September 1, 2015 at 3:21 PM  

Memang awesome..bile boleh gi sining..lame x gi

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP