Thursday, September 16, 2010

Memburu Sepit Biru di Sungai Terengganu


Sungai Terengganu mengalir tenang dari Hulu Kuala Berang ke Kuala Terengganu. Sekali musim bah, arusnya menggoncangkan sangkar-sangkar ikan yang berada di sepanjang sungai bersejarah ini. Paling dibimbangi pemilik sangkar, kayu balak yang hanyut akan memusnahkan sangkar-sangkar ikan. Penantian selama 6 bulan untuk memungut hasil akan lenyap begitu sahaja. Inilah realiti yang berlaku saban tahun dalam kalendar pengusaha ikan sangkar di pesisir Sungai Terengganu.

(Klik untuk lihat Video)

Sungai Terengganu sangat kaya dengan pelbagai spesis hidupan air tawar kerana sungai ini dalam dan lebar. Ia telah menjadi nadi kepada kehidupan rakyat Terengganu sejak zaman dahulu lagi. Batu bersurat yang dijumpai di Padang Tara, di tepi Sungai Tara, Kuala Berang pada 1887 sangat berkait rapat dengan Sungai Terengganu. Ia membuktikan Sungai ini pernah menjadi laluan penting kapal-kapal dagang. Menurut catatan sejarah, Kuala Berang atau dikenali dengan nama ' Foloan' merupakan pusat perniagaan dan menjadi tumpuan suatu ketika dahulu.


Memburu Sepit Biru


Melihat hujung mata kail yang terhenjut-henjut

Apabila masa terluang, aktiviti memancing di sungai menjadi pilihan. Namun kali ini bukanlah sotong atau ikan yang menjadi buruan, tetapi udang galah atau lebih dikenali sebagai 'Sepit Biru' di kalangan kaki pancing. Berbeza dengan memancing ikan, memancing udang memerlukan kepekaan yang lebih tinggi pemancing kerana libasan ikan agak berbeza dengan sentapan Sepit Biru. Seringkali hujung mata kail terhenjut-henjut, tetapi jika tidak kena cara tariknya, hanya mata kail kosong akan diangkat. Sungai Terengganu terkenal sebagai lokasi untuk memancing udang galah dan juga pelbagai jenis ikan air tawar lain.

Umpannya tidak perlu dibeli, hanya perlu membawa penangguk. Anak-anak udang yang bermain-main di bawah daun kiambang dan rumput-rumput di tepi sungai ditangguk, dicangkukkan ke mata kail dan dibuang kepalanya. Lontarkan mata kail ke dasar sungai, biarkan batu ladung tergantung begitu hampir dengan dasar sungai, supaya pergerakan mata kail dapat dikesan. Mata tidak akan mengantuk jika sentiasa ada yang menarik-narik mata kail, malah bertambah segar apabila ditarik kuat dan berjaya menaikkan udang galah.


(Klik untuk lihat Video)


Pemandangan di pesisir Sungai Terengganu.


Pelbagai jenis ikan dipelihara dalam sangkar di pesisir sungai ini seperti ikan Talapia, ikan Baung ikan Patin dan lain-lain lagi. Ikan yang dipelihara di Sungai lebih segar dan bersih kerana airnya mengalir.







1 comments:

Mr_17 September 17, 2010 at 7:55 AM  

xajak dh aku g igak udang....

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP