Saturday, September 4, 2010

Musim Buah



Walaupun musim buah tahun ini tiba dekat dengan bulan Ramadhan, kemeriahan tetap terasa. Buah durian kampung berbuah lebih awal, iaitu beberapa minggu sebelum tibanya bulan puasa. Saya sangat beruntung kerana keluarga saya memiliki dusun sendiri. Tidak perlu mengeluarkan belanja untuk membeli buah durian dan buah-buahan lain.


Selain diikat di pokok, pukat juga direntangkan di bawah pokok untuk mengelakkan durian jatuh terus ke tanah.

Apa yang menarik yang ingin saya ceritakan di sini ialah cara bagaimana buah durian dipungut. Berbeza dengan durian kampung, durian 'kahwin' agak cerewet untuk dijaga kerana ia sangat besar dan lebih berat berbanding dengan durian biasa. Sekiranya ia jatuh ke tanah, ia akan pecah dan ini akan merosakkan kualiti buah sekiranya dipungut keesokan harinya. Oleh itu, durian kahwin ini perlu diikatkan dengan tali di dahan supaya ia tidak jatuh terus ke tanah. Selain menjaga buah durian dari rosak, ia juga dapat mengelakkan buah durian dari dimakan babi hutan yang amat gemarkan buah durian.

Semua daerah di Negeri Terengganu menjadi meriah apabila tibanya musim buah kerana terdapat banyak dusun buah-buahan di negeri ini, oleh sebab itu, harga buah-buahan boleh didapati dengan harga yang agak murah. Cara yang terbaik untuk membeli buah-buahan yang segar ialah menelusuri jalan-jalan kampung terutamanya di jalan ke Wakaf Tapai, atau di Pasir Akar (jalan ke Lata Tembakah, Lata Belatan, dan La Hot Spring). Aroma buah-buahan begitu terasa apabila anda melalui jalan-jalan kampung. Selain itu anda juga boleh ke Taman Pertanian Sekayu kerana di sana terdapat banyak pohon buah-buahan. Anda juga boleh memetik sendiri buah-buahan di sini dan kadar bayaran yang dikenakan sangatlah berpatutan.


Bapa saya yang begitu berani memanjat pokok durian kahwin yang sangat tinggi.



Rambai

Rambutan

Durian yang dipungut.

Selain babi hutan, tupai merupakan musuh utama apabila tibanya musim buah.


Duku

Salak

Manggis


Raja Buah

Pulasan










1 comments:

ASaDa RyutaRo September 6, 2010 at 4:00 PM  

best sangat lah ada kebun durian. syok makan puas2..
baru tau yg babi hutan pun suka makan durian. huhu..

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP