Gua Bewah, Tasik Kenyir
Selepas aktiviti memancing, kami singgah ke Bukit Bewah untuk meninjau apa yang ada di Gua Bewah. Pemandangan di sini amat mempesonakan. Bukit Bewah ini adalah setinggi 578 meter dari aras laut. Ia merupakan bukit batu kapur dan terletak di taman negara Tasik Kenyir. Nama Bewah dipercayai diambil dari perkataan 'berbewah' atau 'berbekwah' yang membawa maksud kenduri kendara yang sering dilakukan oleh masyarakat di sini suatu ketika dahulu. Ada juga dakwaan yang mengatakan nama gua bewah ini ada kaitan dengan nama Tok Bewah yang menjadi raja di kawasan ini suatu ketika dahulu.
Keindahan Bukit Bewah persis latar tempat dalam filem terkenal, 'Avatar'.
Galeri Gua Bewah
Galeri Gua Bewah menempatkan jumpaan dari eskavasi yang dilakukan. Begitu banyak artifak yang berkaitan dengan kebudayaan Hoabinhian ditemui di sini seperti alat-alat batu yang digunakan . Dipercayai kebudayaan ini berusia dalam lingkungan 10,000 - 3,000 sebelum masehi.
Terdapat begitu banyak formasi stalagtit dan stalagmit yang menarik pada dinding batu kapur Gua Bewah ini. Terdapat juga flora dan fauna dalam gua ini seperti labah-labah, lipas, ketam, lumut dan kelawar.
Di sini terdapat begitu banyak pokok lada yang hidup subur berbajakan tahi kelawar dari dalam gua Bewah. Menurut Dolah, Tekong rumah bot yang membawa kami ke sini, pokok lada ini sudah begitu lama hidup di sini dan dipercayai sudah dijumpai ketika mula-mula ekspedisi eskavasi oleh Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pada tahun 1976. Apa yang menarik mengenai lada-lada yang hidup di sini ialah rasanya yang sangat pedas berbanding lada-lada biasa.
'Terengganu Girl'
Kubur ' Terengganu Girl' berdekatan dengan sebuah batu besar di dalam Gua Bewah
Di Gua Bewah ini juga dijumpai rangka tulang manusia yang paling lama di Malaysia mengatasi Perak Man iaitu Terengganu Girl yang dikatakan pernah hidup 11,000 tahun dahulu. Rangka ini dijumpai dalam keadaan mengerekot seperti bayi dan semasa meninggal dunia rangka ini masih remaja. Oleh sebab itulah rangka ini digelar 'Terengganu Girl'.