Tuesday, August 31, 2010

Ikan, Udang, Ketam dan Sotong Celup Tepung Pantai Penarik



Perairan negeri Terengganu yang luas menjanjikan khazanah laut yang tidak ternilai kepada penduduk negeri ini. Ini menjadikan sektor perikanan sebagai sektor yang tidak kurang pentingnya kepada pembangunan ekonomi penduduk di Negeri Terengganu ini kerana ikan atau hasil laut lain merupakan sumber protein utama kepada penduduk Malaysia amnya. Masih ada penduduk di pesisir pantai Terengganu yang bekerja sebagai nelayan pinggir pantai untuk menyara keluarga dan ada nelayan yang sudah memiliki bot besar untuk membelah laut China Selatan.

Hasil laut yang segar boleh didapati dengan mudah di sini malah boleh didapati dengan harga yang murah. Antara makanan kesukaan masyarakat di sini ialah makanan laut yang digoreng celup tepung. Ikan, udang, ketam atau sotong digoreng celup tepung dan dicicah dengan sos cili. Banyak gerai-gerai makanan hasil laut ini dibuka di tepi-tepi jalan di sekitar negeri Terengganu ini. Antara gerai yang paling terkenal ialah di sepanjang jalan di Pantai Penarik. Anda boleh singgah seketika di gerai-gerai ini ketika melalui Jalan Pantai ke Kota Bharu.


Gerai Hasnik Seri Menanti, gerai makanan laut yang paling terkenal di Penarik.



Selain ikan, udang, ketam dan sotong celup tepung ini, menu wajib yang ditawarkan di sini ialah air kelapa dan juga keropok lekor. Hidangan ini sesuai untuk minum petang bersama keluarga sambil menikmati angin Laut China Selatan di Pantai Penarik ini.



Udang Celup Tepung







Gerai Sotong Celup Tepung di sepanjang Pantai Penarik

klik imej untuk besarkan












Read more...

Saturday, August 28, 2010

Kem Seri Keluang, Pantai Bukit Keluang, Besut


Kem Seri Keluang terletak berhampiran Pantai Bukit Keluang dan Bukit Keluang. Ia pernah menjadi venue berlangsungnya Jamboree Pengakap Asia Pasifik pada tahun 1997. Dikelilingi alam semulajadi dan permandangan yang sangat menarik, Kem Seri Keluang merupakan tempat beraktiviti yang paling menarik. Terdapat pantai yang sangat panjang di sini serta Bukit Keluang yang sedia untuk ditakluki.



Pantai Bukit Keluang dan Bukit Keluang, gabungan dua unsur alam yang menjadikan tempat ini sangat cantik dan memukau pandangan siapa sahaja.



Saya dan rakan dijemput untuk menjadi fasilitator ketika berlangsungnya Perkhemahan murid Program Pendidikan Khas Integrasi Daerah Besut yang telah diadakan pada 2 hingga 4 Ogos 2010 yang lepas di sini. Perkhemahan ini telah dirasmikan oleh Ab Halim Bin Hj Hassan, Timbalan Pegawai Pelajaran Daearah Besut.



Selain tapak perkhemahan, chalet juga disediakan untuk kemudahan guru-guru atau fasilitator. Terdapat juga kemudahan asas lain seperti tandas, dataran perhimpunan, dewan syarahan dan lain-lain lagi. Kem Seri Keluang ini sangat sesuai bagi agensi kerajaan, swasta atau korporat yang ingin menjalankan aktiviti atau ingin mengadakan hari keluarga kerana selain kemudahan yang lengkap, tempat ini juga sangat cantik dan menarik, sesuatu yang jarang ada di tempat lain.


Chalet


Surau













Hubungi :
Majlis Belia Daerah Besut
Kompleks Rakan Muda Kampung Raja
atau
Pengurus Kem Seri Keluang : 019-9834045

Read more...

Wednesday, August 25, 2010

Peladang Setiu Agro Resort


Peladang Setiu Agro Resort merupakan tempat rekreasi agrotourism bagi mereka yang menginginkan suasana alam semulajadi yang terbaik. Ia menjadi pilihan utama bagi sektor kerajaan dan koporat bagi mengadakan aktiviti seperti perkhemahan atau hari keluarga, kerana Peladang Setiu Agro Resort ini menawarkan kem latihan dan tempat perkhemahan yang boleh memuatkan ramai peserta. Selain itu, di sini juga terdapat fasilitator terlatih bagi menjalankan aktiviti-aktiviti mencabar seperti Jungle Walk, Flying Fox, Abseiling, kayak dan lain-lain lagi.



Selain tapak perkhemahan di sini juga disediakan pelbagai pakej penginapan chalet yang berpatutan. Pelbagai aktiviti rekreasi boleh dirasai di sini kerana Peladang Setiu Agro Resort ini terletak berhampiran Hutan Simpan Gunung Tebu. Selain menikmati persekitaran yang nyaman, kita dapat mempelajari cara membuat jerat, perangkap dan denak untuk menangkap haiwan liar. Terdapat juga banyak gua-gua yang menarik untuk diterokai seperti Gua Batu Misteri, Gua Kura-Kura, Gua Batu Susun, serta Gua Bongkok. Aliran sungai-sungai semulajadi juga pasti mempesonakan anda.

Taman Unggas, Taman Arnab dan juga Taman Herba

Kemudahan pengangkutan untuk para pelawat.


Tasik di Peladang Setiu Agro Resort.


Taman Herba


Di sini terdapat lebih 120 jenis pelbagai spesis herba yang mempunyai nilai perubatan dan khasiat seperti Tongkat Ali, Kacip Fatimah, Gajah Mengawan, Kerbau Amuk, Aji Samat, dan pelbagai lagi. Anda boleh mengutip dan merebus sendiri herba-herba yang terdapat di sini. Air herba ini dapat mengembalikan tenaga dan menghilangkan keletihan dan kelesuan anda secara semulajadi.







Lot 3912, Guntong, 22040 Setiu,
Terengganu, Malaysia

+609-690 2245
+609-690 3482
peladang_agroresort@yahoo.com
http://www. agroresort.com

Read more...

Tuesday, August 24, 2010

Pulau Perhentian Kecil


Pulau Perhentian mula dibuka oleh Batin Mina dan Keluarganya dari kepulauan Riau yang mendiami Teluk Dalam pada penghujung abad ke 18. Pada awalnya, Pulau ini tidak mempunyai nama asal dan menjadi tempat persinggahan kapal-kapal dagang China yang berulang-alik dari China ke Asia Tenggara. Oleh kerana ia sering dijadikan tempat persinggahan kapal, ia dinamakan Pulau Perhentian. Keturunan Batin Mina telah mentadbir pulau Perhentian sehingga keturunan terakhirnya, Batin Sidek pada tahun 1990.


Perkampungan Pulau Perhentian Kecil


Kanak-kanak Pulau Perhentian beraksi dengan cara mereka.

Saya sudah beberapa kali berkesempatan untuk ke Pulau Perhentian kecil ini kerana banyak program anjuran Jabatan Pendidikan Jasmani, Institut Pendidikan Guru, Kampus Sultan Mizan dilakukan di sini. Kami sangat beruntung dapat menimba ilmu di daerah Besut ini, kerana selain dapat belajar, kami juga berpeluang pergi ke tempat-tempat menarik yang sangat banyak di sekitar daerah ini.

Ikan-ikan yang berada di bawah jeti.

Di Pulau Perhentian Kecil terdapat sebuah perkampungan yang telah didiami sejak abad ke 18 lagi. Penduduk kampung di sini menjadikan sektor perikanan dan juga sektor pelancongan sebagai punca pendapatan mereka. Selain itu, terdapat juga penduduk kampung yang berniaga dan juga menyewakan rumah atau bilik kepada pelancong yang datang ke sini.


Di Pulau Perhentian Kecil ini juga terdapat pelbagai kemudahan asas untuk penduduk seperti balairaya, klinik desa balai raya dan juga sekolah.



Di sini, bot atau kapal menjadi pengangkutan paling utama.


Anda boleh ke Pulau Perhentian melalui jeti Kuala Besut










Bagaimana ke


Read more...

Monday, August 23, 2010

Tasik Puteri, Bukit Besi


Tasik Puteri terletak di Bandar Bukit Besi, Dungun, Terengganu. Tasik Puteri terletak kira-kira 3km dari bandar Bukit Besi apabila anda melalui Jalan Jerangau Jabor. Jarak dari Dungun ke sini pula, ialah 33km dan 77km dari Kuala Terengganu. Keluasan Tasik Puteri ialah 131 hektar.


Air Terjun Tasik Puteri. Sangat sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga bermandi-manda di sini.

Tasik Puteri merupakan kawasan bersejarah dengan kawasan tinggalan lombong bijih besi yang merupakan lombong bijih besi yang terbesar di Asia Tenggara pada suatu masa dulu. Ia adalah tasik buatan yang terbentuk dari Sungai Besul yang disekat dan menghasilkan takungan air. Sumber air inilah yang digunakan bagi menjalankan aktiviti membersih bijih besi.

Tasik Puteri ini juga pernah menjadi venue acara Kanu pada Sukma 2008


Di sini juga disediakan perkhidmatan rekreasi air seperti kayak dan juga paddle boat. Kadar sewa kayak bagi 2 orang hanya RM3.00 selama 30 minit. Bagi Paddle Boat pula hanya RM 4.50 perkhidmatan ini bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 6.30 petang.


Pemandangan yang Indah di Tasik Puteri












Untuk Maklumat Lanjut Sila Hubungi :

Bahagian Pelancongan & Pembangunan Tasik Kenyir,
Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah,
Karung Berkunci No. 3,
23400 Al Mukhtafi Billah Shah,
Dungun, Terengganu.

Read more...

Saturday, August 21, 2010

Pertukangan Bot Tradisional Pulau Duyong


Sejarah telah mebuktikan bahawa Terengganu sangat terkenal dengan masyarakat pelayar tradisi sejak dahulu lagi. Selain menjadi pusat perkembangan agama Islam, Terengganu juga merupakan antara tempat perdagangan yang penting. Oleh itu, bot atau kapal merupakan alat perhubungan terpenting yang menjadi nadi perkembangan perdagangan dan perhubungan suatu ketika dahulu.


Pertukangan Bot Tradisional Pulau Duyong



Pembuatan Bot dan Perahu tradisional ini terletak di Pulau Duyong, Kuala Terengganu. Pulau Duyong terdiri dari dua pulau iaitu Pulau Duyong Besar dan Pulau Duyong Kecil. Di Pulau Duyong Besar ini, terdapat dua 'bangsal' pembuatan bot yang sangat terkenal di seantero dunia iaitu bangsal milik Tuan Abdullah Bin Muda atau lebih dikenali sebagai Pak Lah dan juga bangsal milik Hassan Ali.


Pertukangan membuat kapal layar dan bot tradisional ini merupakan kemahiran tradisi yang diwarisi secara turun-temurun oleh penduduk Pulau Duyong.






Bot atau perahu dibina berbeza kerana fungsinya yang berbeza. Perahu yang kecil dibina untuk menyeberangi sungai kecil serta membawa barang-barang yang sedikit, manakala kapal yang besar dibina untuk belayar di lautan luas haruslah teguh untuk membelah lautan ganas dan angin ribut.



Jenis-Jenis Perahu Tradisional

Perahu Jalur
Perahu Setok
Perahu Kajangan
Perahu Haluan Katup
Perahu Sekoci
Perahu Kolek
Perahu Payang
Perahu Bedar
Perahu Belakang Potong
Perahu Pantat Itik
Perahu Pengail











Read more...

Friday, August 20, 2010

Kuih Bahulu Tradisional Terengganu


Kuih bahulu atau baulu merupakan makanan tradisional yang tipikal dalam kehidupan masyarakat terutamanya di Negeri Terengganu. Ia bukan sahaja terkenal ketika majlis-majlis perkahwinan atau perayaan, malah juga dinikmati ketika sarapan pagi atau minum petang.

Bekas tembaga yang digunakan untuk membuat kuih bahulu



Di negeri Terengganu ini, masih ramai pembuat bahulu, akok, kuih bakar, penganan, atau nekbat, masih menggunakan cara pembuatan tradisional, di saat ramai pengusaha kuih sudah menggunakan cara moden dalam membuat kuih. Warisan dari nenek moyang kita ini perlu dikekalkan supaya tidak hilang oleh arus pemodenan semasa. Bahan asas untuk membuat bahulu ialah telur, tepung gandum, gula pasir dan juga sedikit minyak masak atau minyak sapi.

Kulit kelapa digunakan untuk memasak kuih bahulu ini. Ia diletakkan di atas bekas tembaga tadi dan selang beberapa minit kuih bahulu akan masak dan sedia untuk dimakan.















Read more...

Tuesday, August 17, 2010

Sejarah Lagu Selamat Sultan

New Picture (6)

Lagu Kebesaran Negeri Terengganu atau Lagu Selamat Sultan yang digunakan pada hari ini digubah dalam tahun 1927 semasa pemerintahan Al Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Penggubahnya ialah Cikgu Hashim Bin Abu Bakar, kelahiran Singapura yang ketika itu merupakan seorang guru di Sekolah Melayu Paya Bunga, Kuala Terengganu. Beliau juga merupakan Guru pancaragam Pengakap Pasukan Sultan Sulaiman dan juga seorang penulis lirik lagu.

Kisah lagu ini disusun ialah, Allahyarham Dato' Seri Andika Raja berjumpa dengan Cikgu Hashim di sekolahnya kerana menyampaikan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya mengarang suatu lagu Selamat Sultan. Lagu itu dikehendaki berirama Melayu dan bercampur Arab. Kecenderungan Dato' Hashim adalah irama yang lebih garang. Titah itu diterima oleh Cikgu Hashim dan dipersembahkan beserta pasukan pancaragam pengakap di Istana Kolam. Baginda serta penggubah lagu itu menyanyikan sendiri lagu tersebut.



Seminggu kemudian Duli Yang Maha Mulia Tuanku menitahkan supaya lagu itu dinyanyikan pula beramai-ramai oleh Pengakap Kanak-Kanak beserta Pancaragam di Istana Kolam sekali lagi. Kelihatan wajah Duli yang Maha Mulia Tuanku berseri-seri menandakan persetujuan baginda dengan lagu tersebut. Susunan lagu tersebut telah digubah juga oleh pihak Pejabat Pelajaran hingga kekal ke hari ini.



Lagu asal :

Allah peliharakan Raja Kami
Sultan Trengganu Negeri
Allah peliharakan Raja Kami
Sejahtera dua laki isteri
Allah peliharakan Raja kami
Memerentah Trengganu Negeri

Lagu yang dipinda :

Allah peliharakan Raja Kami
Memerntah Trengganu Negeri
Allah peliharakan Raja Kami
Sejahtera suami isteri
Allah peliharakan Raja Kami
Sentosa ra'ayat Negeri


Lagu Selamat Sultan sekarang :

Allah daulatkan Tuanku Sultan
Terengganu Darul Iman
Allah peliharakan Tuanku Sultan
Sejahtera sepanjang zaman
Allah rahmatkan Tuanku Sultan
Memerintah rakyat aman






Sumber,
Sambutan dan Perayaan Genap 25 Pemerintahan
Tuanku Ismail Nasiruddin Shah

Read more...

Monday, August 16, 2010

Pusat Penerangan Penyu, Rantau Abang


Sekitar tahun awal tahun 70-an hingga lewat 80-an, Rantau abang pernah menjadi tempat pelancongan paling terkenal kerana keistimewaannya yang tiada di tempat-tempat lain. Rantau Abang menjadi tempat persinggahan penyu Belimbing raksasa seberat lebih dari 375 kg dan panjangnya melebihi 2.5 meter. Selain itu, Rantau Abang juga disinggahi pelbagai jenis penyu lain seperti penyu lipas, penyu agar dan penyu karah untuk bertelur. Dengan keunikan ini Rantau Abang pernah menyaksikan ribuan pelancong sanggup datang dari segenap pelusuk dunia untuk menyaksikan penyu bertelur.


Sebuah Pusat Pengurusan dan Penerangan Penyu di bawah seliaan Jabatan Perikanan Malaysia telah dibina di Rantau Abang, Dungun, Terengganu. Di pusat ini, pelbagai maklumat mengenai penyu dapat diperolehi seperti jenis-jenis penyu yang mendarat, bilangan hari penetasan penyu, sejarah pendaratan penyu dan pelbagai maklumat lagi dapat diperolehi di sini.

Pusat Penetasan dan Pemuliharaan Penyu

Penyu Karah

Di Pantai Rantau Abang ini juga merupakan kawasan pemeliharaan dan pemuliharaan penyu. Masih terdapat penyu-penyu yang mendarat di sepanjang pantai Kuala Abang dan Rantau Abang ini. Telur-telur penyu ini dipajak kepada penduduk kampung yang menjumpainya. Mereka yang menjumpai telur penyu ini perlu menyerahkannya kepada Pusat Santuari Rantau Abang ini dan akan dibayar sejumlah wang bergantung kepada bilangan telur penyu yang diperoleh.


Anak-anak penyu yang baru menetas ditempatkan di kolam takungan. Ianya akan dilepaskan ke laut setelah mencapai usia yang sesuai.

Penyu Lipas

Bersama Pelancong Itali, Mr Roberto dan keluarga.


Saya berkesempatan untuk beramah mesra dengan Mr. Roberto dan keluarga, pelancong dari Itali yang sedang bercuti di Malaysia. Ketika itu, Mr Roberto dalam perjalanan ke Kuala Besut, untuk ke Pulau Perhentian, mereka sekeluarga singgah ke Rantau Abang ini untuk menyaksikan sendiri suasana pantai dan penyu terutamanya. Beliau bertanyakan saya mengenai pulau-pulau yang berada dalam perairan negeri Terengganu dan juga tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Negeri Terengganu ini.

Bergambar kenangan bersama Mr. Roberto di tempat penetasan telur penyu di Pantai Rantau Abang.


Bagaimana Ke Rantau Abang,


Pusat Pengurusan dan Penerangan Penyu Jabatan Perikanan Malaysia ini terletak di Pantai Rantau Abang kira-kira 47 kilometer dari Bandar Marang dan mengambil masa kira-kira 58 minit. Anda tidak perlu risau tentang penginapan kerana terdapat banyak chalet di sepanjang pantai Rantau Abang ini.


Pusat Pengurusan dan Penerangan
Penyu Jabatan Perikanan Malaysia ;

09-8444169




Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP