Monday, August 16, 2010

Pusat Penerangan Penyu, Rantau Abang


Sekitar tahun awal tahun 70-an hingga lewat 80-an, Rantau abang pernah menjadi tempat pelancongan paling terkenal kerana keistimewaannya yang tiada di tempat-tempat lain. Rantau Abang menjadi tempat persinggahan penyu Belimbing raksasa seberat lebih dari 375 kg dan panjangnya melebihi 2.5 meter. Selain itu, Rantau Abang juga disinggahi pelbagai jenis penyu lain seperti penyu lipas, penyu agar dan penyu karah untuk bertelur. Dengan keunikan ini Rantau Abang pernah menyaksikan ribuan pelancong sanggup datang dari segenap pelusuk dunia untuk menyaksikan penyu bertelur.


Sebuah Pusat Pengurusan dan Penerangan Penyu di bawah seliaan Jabatan Perikanan Malaysia telah dibina di Rantau Abang, Dungun, Terengganu. Di pusat ini, pelbagai maklumat mengenai penyu dapat diperolehi seperti jenis-jenis penyu yang mendarat, bilangan hari penetasan penyu, sejarah pendaratan penyu dan pelbagai maklumat lagi dapat diperolehi di sini.

Pusat Penetasan dan Pemuliharaan Penyu

Penyu Karah

Di Pantai Rantau Abang ini juga merupakan kawasan pemeliharaan dan pemuliharaan penyu. Masih terdapat penyu-penyu yang mendarat di sepanjang pantai Kuala Abang dan Rantau Abang ini. Telur-telur penyu ini dipajak kepada penduduk kampung yang menjumpainya. Mereka yang menjumpai telur penyu ini perlu menyerahkannya kepada Pusat Santuari Rantau Abang ini dan akan dibayar sejumlah wang bergantung kepada bilangan telur penyu yang diperoleh.


Anak-anak penyu yang baru menetas ditempatkan di kolam takungan. Ianya akan dilepaskan ke laut setelah mencapai usia yang sesuai.

Penyu Lipas

Bersama Pelancong Itali, Mr Roberto dan keluarga.


Saya berkesempatan untuk beramah mesra dengan Mr. Roberto dan keluarga, pelancong dari Itali yang sedang bercuti di Malaysia. Ketika itu, Mr Roberto dalam perjalanan ke Kuala Besut, untuk ke Pulau Perhentian, mereka sekeluarga singgah ke Rantau Abang ini untuk menyaksikan sendiri suasana pantai dan penyu terutamanya. Beliau bertanyakan saya mengenai pulau-pulau yang berada dalam perairan negeri Terengganu dan juga tempat-tempat menarik yang boleh dilawati di Negeri Terengganu ini.

Bergambar kenangan bersama Mr. Roberto di tempat penetasan telur penyu di Pantai Rantau Abang.


Bagaimana Ke Rantau Abang,


Pusat Pengurusan dan Penerangan Penyu Jabatan Perikanan Malaysia ini terletak di Pantai Rantau Abang kira-kira 47 kilometer dari Bandar Marang dan mengambil masa kira-kira 58 minit. Anda tidak perlu risau tentang penginapan kerana terdapat banyak chalet di sepanjang pantai Rantau Abang ini.


Pusat Pengurusan dan Penerangan
Penyu Jabatan Perikanan Malaysia ;

09-8444169




0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP