Sunday, August 1, 2010

Sultan Yahya Siak




Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah (1782-1784 masihi), merupakan putera sulung Sultan Ismail dan mempunyai pertalian dengan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang memerintah Kerajaan Johor, Riau Lingga (1722 hingga 1760 masihi). Apabila Raja Kecil mangkat, puteranya Tengku Mahmud menaiki takhta Kerajaan Siak dengan gelaran Sultan Mahmud tetapi telah dirampas oleh Raja Alam, putera sulung Raja Kecil.

Dengan bantuan bapa saudaranya, Sultan Mahmud merampas kembali takhta dari Raja Alam. Setelah Sultan Mahmud mangkat, takhta Kerajaan Siak diambil oleh Sultan Ismail. Niat Raja Alam untuk menaiki takhta kerajaan tetap subur dan beliau akhirnya menewaskan Sultan Ismail lalu menaiki takhta kerajaan Siak. Sultan Ismail telah membawa diri ke Terengganu.


Namun begitu, Sultan Ismail berjaya merampas semula takhta dari Raja Alam dengan bantuan dan sokongan pemerintah Terengganu, tidak beberapa lama kemudian, baginda pun mangkat dan diganti oleh anakanda baginda iaitu Tengku Yahya dengan gelaran Sultan Yahya Abdul Jalil Muzaffar Shah. Baginda memerintah selama dua tahun bermula tahun 1782 hingga 1784 sebelum takhta kerajaan baginda dirampas oleh Sayyid Ali, keturunan Raja Deli melalui satu tipu muslihat.



Sultan Yahya diusir dari kerajaan dan tinggal di Retih, baginda pun mengambil keputusan keluar dari Siak untuk meminta bantuan dari kerajaan alam Melayu bagi merampas kembali takhta kerajaan Siak tetapi baginda gagal. Baginda disertai beberapa orang pembesar telah belayar sehingga sampai ke Terengganu dan menetap di Kota Tanjung Pati-Bemban (Dungun) hingga akhir hayat baginda. Baginda telah dimakamkan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Che Lijah, Dungun, Terengganu pada tahun 1784.



0 comments:

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP