Saturday, September 24, 2011

Seni Wayang Kulit


Wayang Kulit merupakan satu seni persembahan yang telah diwarisi sejak turun-temurun dari nenek moyang kita. Ia merupakan satu seni warisan zaman berzaman yang menjadi hiburan masyarakat lalu. Di samping menjadi hiburan, ia juga merupakan satu jenis pendidikan dan penyampaian yang banyak mencorakkan masyarakat terutamanya di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung dan juga negeri-negeri Utara Malaysia.Wayang kulit Kelantan dan Terengganu banyak dipengaruhi oleh Hikayat Seri Rama yang disadur dari Epik Ramayana. Kini, persembahan ini disampaikan dengan cerita yang banyak berkaitan dengan kehidupan seharian dan juga sarat dengan sindiran-sindiran yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat.


Antara watak penting dalam wayang kulit di Pantai Timur ini ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana.Namun watak yang paling melekat di hati penonton ialah Wok Yoh, Samad dan Said. Kisah-kisah yang disampaikan oleh Tok Dalang sangat mencuit hati dan itulah daya tarikan utama kepada Wayang kulit ini.Seperti Main Puteri dan juga Ulik Mayang, persembahan Wayang Kulit dikatakan mempunyai unsur-unsur pemujaan. Dalam sesetengah persembahan Wayang Kulit, ritual memusing-musingkan daun sireh sebelum persembahan adalah berkaitan dengan pemujaan semangat. Oleh sebab itulah kerajaan di Kelantan mengenakan syarat yang ketat untuk kumpulan-kumpulan Wayang Kulit, malah ada kumpulan yang diharamkan untuk membuat persembahan.



Alat-alat muzik wayang tersebut terdiri dari sebatang serunai, sepasang gedombak, sepasang geduk, sepasang gong (tetawak), sepasang kesi, sebiji mong dan canang. Alunan kesemua alat muzik ini menghidupkan lagi suasana persembahan Wayang Kulit. Tokoh-tokoh yang terkenal dalam seni wayang kulit ini ialah Pak Su Ghani, Pak Nik Mat dan lain-lain lagi. Di Negeri Terengganu ini terdapat seorang Tok Dalang yang sangat terkenal iaitu Saupi. Kebolehannya dalam seni persembahan Wayang Kulit ini amat mengagumkan siapa sahaja. Di samping suaranya yang lunak ketika menyanyi, Tok Dalang Saupi juga boleh menukar-nukar suara mengikut watak-watak dalam Wayang Kulit ini. Tok Dalang Saupi ini berasal dari Kelantan dan kini menetap di Tenang, Besut, Terengganu. Beliau pernah dibawa oleh kerajaan Negeri Terengganu mengadakan persembahan di luar negara seperti Jepun, Perancis, England dan pelbagai negara lagi.


Penonton yang tidak kering gusi mendengar keletah Tok Dalang

Kini persembahan wayang kulit semakin lesu dimamah kemodenan. Generasi muda tidak lagi meminati seni wayang kulit ini. Ada usaha yang mengangkat semula seni wayang kulit dan watak-watak dalam wayang kulit ini dihidupkan semula dalam bentuk animasi.














Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP