Saturday, September 24, 2011

Seni Wayang Kulit


Wayang Kulit merupakan satu seni persembahan yang telah diwarisi sejak turun-temurun dari nenek moyang kita. Ia merupakan satu seni warisan zaman berzaman yang menjadi hiburan masyarakat lalu. Di samping menjadi hiburan, ia juga merupakan satu jenis pendidikan dan penyampaian yang banyak mencorakkan masyarakat terutamanya di negeri-negeri pantai Timur Semenanjung dan juga negeri-negeri Utara Malaysia.Wayang kulit Kelantan dan Terengganu banyak dipengaruhi oleh Hikayat Seri Rama yang disadur dari Epik Ramayana. Kini, persembahan ini disampaikan dengan cerita yang banyak berkaitan dengan kehidupan seharian dan juga sarat dengan sindiran-sindiran yang boleh memberi pengajaran kepada masyarakat.


Antara watak penting dalam wayang kulit di Pantai Timur ini ialah Hanuman, Sri Rama, Sita Dewi, Maharaja Rawana dan Laksamana.Namun watak yang paling melekat di hati penonton ialah Wok Yoh, Samad dan Said. Kisah-kisah yang disampaikan oleh Tok Dalang sangat mencuit hati dan itulah daya tarikan utama kepada Wayang kulit ini.Seperti Main Puteri dan juga Ulik Mayang, persembahan Wayang Kulit dikatakan mempunyai unsur-unsur pemujaan. Dalam sesetengah persembahan Wayang Kulit, ritual memusing-musingkan daun sireh sebelum persembahan adalah berkaitan dengan pemujaan semangat. Oleh sebab itulah kerajaan di Kelantan mengenakan syarat yang ketat untuk kumpulan-kumpulan Wayang Kulit, malah ada kumpulan yang diharamkan untuk membuat persembahan.



Alat-alat muzik wayang tersebut terdiri dari sebatang serunai, sepasang gedombak, sepasang geduk, sepasang gong (tetawak), sepasang kesi, sebiji mong dan canang. Alunan kesemua alat muzik ini menghidupkan lagi suasana persembahan Wayang Kulit. Tokoh-tokoh yang terkenal dalam seni wayang kulit ini ialah Pak Su Ghani, Pak Nik Mat dan lain-lain lagi. Di Negeri Terengganu ini terdapat seorang Tok Dalang yang sangat terkenal iaitu Saupi. Kebolehannya dalam seni persembahan Wayang Kulit ini amat mengagumkan siapa sahaja. Di samping suaranya yang lunak ketika menyanyi, Tok Dalang Saupi juga boleh menukar-nukar suara mengikut watak-watak dalam Wayang Kulit ini. Tok Dalang Saupi ini berasal dari Kelantan dan kini menetap di Tenang, Besut, Terengganu. Beliau pernah dibawa oleh kerajaan Negeri Terengganu mengadakan persembahan di luar negara seperti Jepun, Perancis, England dan pelbagai negara lagi.


Penonton yang tidak kering gusi mendengar keletah Tok Dalang

Kini persembahan wayang kulit semakin lesu dimamah kemodenan. Generasi muda tidak lagi meminati seni wayang kulit ini. Ada usaha yang mengangkat semula seni wayang kulit dan watak-watak dalam wayang kulit ini dihidupkan semula dalam bentuk animasi.














Read more...

Thursday, September 15, 2011

Karnival Tanglung, Mid Autumm Festival, Kampung Cina



Di dalam budaya masyarakat Cina, tanglung (sky lantern) atau juga dikenali sebagai tanglung Kongming (Kongming Lantern) dilepaskan ke langit semasa menyambut Mid Autumm Festival. Perayaan ini secara tradisinya disambut pada hari kelima belas dalam bulan kelapan dalam kalendar Cina, iaitu pada bulan September atau awal Oktober. Pesta ini adalah pesta yang kedua paling penting selepas Festival Spring kepada masyarakat Cina. Setiap tahun apabila tiba perayaan dan festival mereka akan pulang untuk bertemu dengan keluarga dan makan malam dengan mereka.


Harapan dan hasrat ditulis di Tanglung sebelum dilepaskan ke langit.

Sambutan perayaan Mid-Autumm ini mempunyai sejarah sejak 3000 tahun lalu. Perayaan ini juga dianggap sebagai perayaan musim menuai. Makanan yang paling terkenal untuk festival ini ialah kuih bulan. Kuih bulan biasanya dibuat dengan biji tembikai, biji teratai, badam, daging cincang, kacang pes dan kulit oren. Warna kuning keemasan kuih bulan ini adalah dari telur itik dan kuih ini dihiasi dengan simbol-simbol perayaan. Perayaan ini disambut secara meluas di seluruh negara, dan merupakan salah satu daripada cuti perjumpaan keluarga masyarakat Cina. Pada hari itu, ahli keluarga Cina tinggal bersama-sama, mengagumi bulan penuh dan makan kuih bulan.

Di Terengganu, Festival Mid Autumm disambut dengan sangat meriah sekali terutamanya di Kampung Cina Kuala Terengganu. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti Pertandingan Perhiasan Tanglung, Seni Kaligrafi Cina, Tarian Singa, Lampu Lotus, Orkestra Muzik Klasikal Cina, pertunjukan bunga api dan pelbagai lagi aktiviti yang menarik yang bermula dari 9 September 2011 hingga 16 September 2011.



Mengapa Masyarakat Cina meraikan Pesta Tanglung ?

Terdapat banyak versi tentang lagenda mengapa masyarakat Cina melepaskan tanglung ke langit. Ini adalah salah satu kisah yang sangat masyhur di kalangan masyarakat Cina yang diceritakan sendiri oleh rakan Cina saya. Kisah ini bermula sejak dahulu di mana semua manusia hidup dalam kesengsaraan dan tiada makanan. Menurut lagenda ini, bumi pada ketika dahulu mempunyai 10 matahari, oleh sebab itulah berlaku satu musim panas yang amat melampau dan menyebabkan tidak ada tumbuhan dan hasil makanan.

Terdapat seorang perwira yang gagah yang bernama Hou Yi, beliau ingin memusnahkan kesemua matahari yang menyebabkan manusia sengsara. Apabila Hou Yi ingin memusnahkan matahari yang ke sepuluh seorang tua menahannya dari melakukan demikian kerana manusia memerlukan matahari untuk terus hidup. Sejak dari itu, bumi mempunyai satu matahari sahaja dan Hou Yi menjadi terkenal dan disayangi ramai. Hou Yi telah mengahwini seorang jelitawan bernama Chang Er. Mereka hidup bahagia tetapi terdapat juga penduduk kampung berasa iri hati terhadap mereka. Mereka melepaskan Tanglung ke udara, ke Bulan.

Oleh kerana Hou Yi sangat kuat dan mempunyai kemahiran dalam memanah dan memburu, ramai yang ingin berguru dengan Hou Yi. Seorang lelaki bernama Feng Meng telah menjadi murid Hou Yi. Feng Meng merupakan seorang yang jahat dan sebenarnya amat iri hati terhadap Hou Yi. Suatu hari Hou Yi pergi ke Kun Lun (gunung) untuk melawat rakannya. Dalam perjalanan Hou Yi bertemu dengan Wang Mu Nian Nian (isteri kepada Yu Wang Da Di). Hou Yi meminta pil (pil untuk hidup selamanya) daripada Wang Mu Nian Nian.




Oleh kerana Hou Yi terlalu menyayangi isterinya, Hou Yi tidak memakan pil tersebut dan meminta isterinya Chang Er menyimpannya. Malangnya, semua ini telah didengari oleh Feng Meng. Feng Meng ingin memiliki pil itu kerana dia ingin hidup selamanya. Pada suatu hari, Hou Yi keluar memburu dan meninggalkan Chang Er keseorangan di rumah. Feng Meng pergi ke rumah Chang Er dengan membawa sebilah pedang dan mengugut Chang Er supaya mendapatkan pil tersebut untuknya. Chang Er tidak tidak dapat melawan, lalu dia mengeluarkan pil tersebut dan menelan kesemuanya. Selepas itu, badan Chang Er mengeluarkan cahaya dan Chang Er menjadi 'immortal'(hidup kekal abadi), Chang Er kemudiannya naik ke bulan.

Pembantu rumah Chang Er yang menangis teresak-esak memberitahu Hou Yi apa yang berlaku petang itu. Hou Yi sangat terkejut dan marah. Hou Yi mahu membunuh Feng Meng tetapi Feng Meng berjaya melarikan diri. Hou Yi berasa amat sedih kerana kehilangan isterinya. Hou Yi berjalan ke luar rumah dan mengadapkan mukanya ke langit dan berteriak, "Chang Er!!", ketika itu, dia melihat bulan yang sangat indah, dan bulan yang indah itu sangat mirip dengan isterinya, Chang Er. Hou Yi berlari pantas ke arah bulan untuk mendapatkan isterinya, malangnya bulan tersebut juga lari dari dirinya. Hou Yi tidak dapat mendekati bulan tersebut. Hou Yi tidak mempunyai pilihan tetapi dia sangat menyayangi isterinya. Dia meminta pembantu rumahnya pergi ke taman (tempat yang suka dilawati Chang Er) dan menyediakan buah di situ, dengan maksud menyediakan buah itu untuk bulan dan juga untuk isterinya. Semua penduduk kampung yang mengetahui kisah ini mengikuti Hou Yi berbuat demikian, dan tradisi ini kekal hingga sekarang.


Persembahan pentas di Karnival Tanglung Kampung Cina 2011







Read more...

Wednesday, September 7, 2011

Dialek Terengganu

Bahasa terdiri daripada sekumpulan dialek yang bersalingfahaman antara satu sama lain. Dialek-dialek yang tergolong dalam satu bahasa lazimnya mempunyai banyak ciri persamaan dan juga terdapat perbezaan . Perbezaan dialek ini dipengaruhi oleh faktor ruang dan juga geografi.



Pertuturan biasa di Daerah Marang.


Bagi mereka yang bukan penutur dialek Terengganu, perkataan yang mungkin paling kerap didengar dan disebut mengenai dialek Terengganu ini ialah 'makang ikang'. Entah sebab apa dua perkataan ini sering timbul dan sentiasa disebut-sebut untuk mengaitkannya dengan dialek Terengganu. Mungkin kerana Negeri Terengganu ini kaya dengan makanan laut itu. Sebenarnya terdapat banyak lagi perkataan-perkataan loghat Terengganu yang jika disebut mungkin langsung tidak difahami. Satu lagi perkara yang sangat sinonim dengan loghat Terengganu ialah penambahan huruf 'G' di belakang perkataan. Selain itu, dialek ini sangat kaya dengan penambahan kata penguat di belakang perkataan. Sebagai contoh, 'busuk kohong', 'kohong' itu membawa maksud sangat busuk. Loghat Terengganu juga sering meringkaskan perkataan seperti perkataan 'masjid' menjadi 'sejid'.

Terdapat tiga dialek yang berbeza di Terengganu ini, iaitu dialek di Daerah Kuala Terengganu Dungun, Kemaman dan Marang, dialek di Daerah Kuala Berang dan Dialek di Daerah Besut. Di Kuala Terengganu, Dungun, Kemaman dan Marang, dialek Terengganu pekat digunakan. Dialek ini juga digunakan oleh penduduk di sempadan Pahang. Berbeza di Daerah Besut dan sebahagian Setiu, mereka menggunakan dialek Kelantan dalam kehidupan seharian. Loghat Kuala Berang merupakan loghat yang paling unik di Negeri Terengganu, ia sangat berbeza dengan loghat Terengganu dan loghat di Besut. Seperti perkataan 'balik', loghat Kuala Berang menyebutnya sebagai 'balaik', manakala perkataan 'barangkali' disebut sebagai 'bakalai'. Banyak lagi perkataan-perkataan loghat Kuala Berang yang sangat berbeza dari loghat Terengganu.








Untuk mengetahui perkataan-perkataan loghat Terengganu,
Klik di sini.

Read more...
Share |

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP