Sejarah Besut, Negeri Beraja satu masa lalu
Istana Kampung Raja, Besut, Terengganu. Warisan sejarah yang tidak ternilai.
Istana Kampung Raja, Besut, Terengganu merupakan sebuah Istana Melayu lama yang didirikan oleh sultan yang memerintah daerah Besut di Terengganu. Rumah Melayu Tradisional ini lebih dikenali dengan panggilan Istana Tengku Anjang Zahab yang terletak di Kampung Raja. Ia menghadap ke arah masjid lama dan Sungai Besut. Istana ini merupakan sebuah rumah Melayu yang konsep binaannya telah dipengaruhi oleh senibina asing seperti Riau dan Siam.
Masjid Kampung Raja, Besut dibina pada tahun 1895.
Kawasan Kampung Raja, Lampu, Kota Palembang, Kampung Pinang, Kampung Lama dan Kuala Besut sekarang, dikenali dengan panggilan jajahan Palembang lebih kurang 175 tahun yang lampau. Nama Palembang ini didapati dari panggilan orang-orang yang datang dari Palembang, Sumatera. Adalah dipercayai bahawa tempat ini hampir serupa dengan Palembang di Sumatera, dengan itu mereka memanggilnya Palembang.
Sebelum tertubuhnya kerajaan Melayu Palembang kawasan ini diduduki oleh kaum Sakai di bawah ketuanya yang dikenali dengan panggilan Besut. Ketua sakai ini kemudiannya telah menukarkan tanahnya dengan seorang saudagar bernama Che Latiff. Tukarannya berupa mata kail dan batu permata. Besut kemudiannya mudek ke hulu berhampiran dengan Lubuk Bida bersama dengan orang-orangnya. Nama daerah Besut sekarang adalah diambil sempena nama ketua sakai ini.
Kronologi Sejarah Palembang (Besut)
1800- Daerah ini diduduki oleh kaum Sakai diketuai oleh Besut
1810- Palembang menjadi hak milik Che Latiff
1815- Che Latiff memberi Besut kepada Sultan Abidin pertama. Tengku Kadir dilantik menjadi Raja Palembang.
1835- Tengku Kadir mangkat dan digantikan dengan Tengku Hitam @ Ali
1837- Tengku Hitam mangkat dan diganti oleh Tengku Chik Ali.
1844- Istana diraja dibina di Palembang.
1885- Tengku Chik Haji membina istana baru bagi menggantikan istana yang terbakar.
1890- Tengku Ngah dilantik menjadi Raja Palembang terakhir.
1899- Pelembang dijadikan sebahagian dari Negeri Terengganu dan menjadu naugan British. nama Palembang ditukar dengan nama Besut.
1919- Istana Tengku Wok siap.
1926- Dilanda bah merah semasa di bawah Penasihat British.
1941- Diserang Jepun.
1945- Di bawah Komander S. Nonsisky
1956- Di bawah Penasihat British.
1957- Merdeka
sumber- Majallah Cahaya Kemajuan Sekolah Menengah Tengku Mahmud (1974)









