Thursday, December 16, 2010

Gua Bewah, Tasik Kenyir



Selepas aktiviti memancing, kami singgah ke Bukit Bewah untuk meninjau apa yang ada di Gua Bewah. Pemandangan di sini amat mempesonakan. Bukit Bewah ini adalah setinggi 578 meter dari aras laut. Ia merupakan bukit batu kapur dan terletak di taman negara Tasik Kenyir. Nama Bewah dipercayai diambil dari perkataan 'berbewah' atau 'berbekwah' yang membawa maksud kenduri kendara yang sering dilakukan oleh masyarakat di sini suatu ketika dahulu. Ada juga dakwaan yang mengatakan nama gua bewah ini ada kaitan dengan nama Tok Bewah yang menjadi raja di kawasan ini suatu ketika dahulu.


Keindahan Bukit Bewah persis latar tempat dalam filem terkenal, 'Avatar'.


Gua Bewah


Galeri Gua Bewah

Galeri Gua Bewah menempatkan jumpaan dari eskavasi yang dilakukan. Begitu banyak artifak yang berkaitan dengan kebudayaan Hoabinhian ditemui di sini seperti alat-alat batu yang digunakan . Dipercayai kebudayaan ini berusia dalam lingkungan 10,000 - 3,000 sebelum masehi.




Tangga yang dibina menuju ke dalam gua untuk kemudahan pelancong.



Terdapat begitu banyak formasi stalagtit dan stalagmit yang menarik pada dinding batu kapur Gua Bewah ini. Terdapat juga flora dan fauna dalam gua ini seperti labah-labah, lipas, ketam, lumut dan kelawar.



Di sini terdapat begitu banyak pokok lada yang hidup subur berbajakan tahi kelawar dari dalam gua Bewah. Menurut Dolah, Tekong rumah bot yang membawa kami ke sini, pokok lada ini sudah begitu lama hidup di sini dan dipercayai sudah dijumpai ketika mula-mula ekspedisi eskavasi oleh Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pada tahun 1976. Apa yang menarik mengenai lada-lada yang hidup di sini ialah rasanya yang sangat pedas berbanding lada-lada biasa.



'Terengganu Girl'

Kubur ' Terengganu Girl' berdekatan dengan sebuah batu besar di dalam Gua Bewah

Di Gua Bewah ini juga dijumpai rangka tulang manusia yang paling lama di Malaysia mengatasi Perak Man iaitu Terengganu Girl yang dikatakan pernah hidup 11,000 tahun dahulu. Rangka ini dijumpai dalam keadaan mengerekot seperti bayi dan semasa meninggal dunia rangka ini masih remaja. Oleh sebab itulah rangka ini digelar 'Terengganu Girl'.










Read more...

Wednesday, December 15, 2010

Trip Memancing di Tasik Kenyir



Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Empangan Kenyir adalah ketika berusia 10 tahun. Ketika itu saya mengikuti lawatan sambil belajar ke Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud. Tetapi rombongan kami tidak dapat memasuki tempat Janakuasa Elektrik atas alasan yang saya pun tidak berapa mengerti ketika itu. Guru kami mengambil inisiatif menyewa rumah bot dan membawa kami bersiar-siar ke sekitar Tasik Kenyir dengan bayaran RM 2.oo seorang.

Mendaftar sebelum memasuki Taman Negara

Dua belas tahun selepas itu, barulah saya sampai semula ke Tasik Kenyir ini dengan trip memancing bersama rakan-rakan. Usai sarapan, kami bertolak ke Stesen JanaElektrik Sultan Mahmud, rumah bot yang kami sewa berpengkalan di sini, tidak di pengkalan Gawi. Dari sini kami bertolak ke kawasan lubuk ikan yang terletak berhampiran Sungai Cacing. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 5 jam.



Lampam dikail menggunakan umpan palet.



Sebaik sahaja tali rumah bot diikatkan di tunggul balak, kami terus mencangkukkan umpan ke mata kail dan mencuba nasib. Rumah bot kami 'disinggah' beratus-ratus ekor Lampam yang bersaiz tapak tangan. Bagi pemancing 'beginner' seperti saya mendapat seekor ikan sudah memadai. Petang itu sahaja berpuluh ekor Lampam berjaya dikail. Umpan sawit saya tidak mengena, tetapi umpan sawit rakan disambar Kelah sebesar lengan ahli gusti. Memang adat memancing, lain umpan, lain ikannya, jika umpan kelah ialah sawit, umpan toman pula ialah anak ikan. Di waktu malam pula, ikan temperas begitu galak menyentap cengkerik.


Toman mudah dijinakkan menggunakan umpan anak keli atau ikan seluang



Trekking ke Lubuk Kelah di Sungai Terenggan, Tasik Kenyir


Pada hari kedua, kami dibawa ke Sungai Terenggan di mana banyak spesis kelah dan sebarau bermain-main di celah batu melawan aliran sungai yang deras. Kami berjalan kaki sejauh 2 kilometer meredah anak sungai yang paling dalam pun hanya paras dada. Sesekali sekumpulan memerang keluar dari sungai menyusup ke semak. Banyak sisik dan tulang-tulang ikan di tepian Sungai Terenggan ini menandakan lubuk ikan di sini menawarkan tangkapan lumayan.


Teknik Casting digunakan untuk menawan Kelah dan Sebarau.






Toman


Sebarau




Bagi saya, 3 hari 2 malam di sini begitu menenangkan. Suasana yang begitu nyaman amat mententeramkan jiwa. Bukan setakat memancing, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, meluangkan masa bersama rakan atau keluarga, melawat ke tempat menarik seperti Gua Bewah dan Taat, Air Terjun Lasir atau 'birdwatching' atau ke Santuari Kelah.




Untuk pengalaman menarik ini,
Hubungi Dolah, tekong Rumah bot yang mesra
di 0148429812


Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP