Thursday, December 16, 2010

Gua Bewah, Tasik Kenyir



Selepas aktiviti memancing, kami singgah ke Bukit Bewah untuk meninjau apa yang ada di Gua Bewah. Pemandangan di sini amat mempesonakan. Bukit Bewah ini adalah setinggi 578 meter dari aras laut. Ia merupakan bukit batu kapur dan terletak di taman negara Tasik Kenyir. Nama Bewah dipercayai diambil dari perkataan 'berbewah' atau 'berbekwah' yang membawa maksud kenduri kendara yang sering dilakukan oleh masyarakat di sini suatu ketika dahulu. Ada juga dakwaan yang mengatakan nama gua bewah ini ada kaitan dengan nama Tok Bewah yang menjadi raja di kawasan ini suatu ketika dahulu.


Keindahan Bukit Bewah persis latar tempat dalam filem terkenal, 'Avatar'.


Gua Bewah


Galeri Gua Bewah

Galeri Gua Bewah menempatkan jumpaan dari eskavasi yang dilakukan. Begitu banyak artifak yang berkaitan dengan kebudayaan Hoabinhian ditemui di sini seperti alat-alat batu yang digunakan . Dipercayai kebudayaan ini berusia dalam lingkungan 10,000 - 3,000 sebelum masehi.




Tangga yang dibina menuju ke dalam gua untuk kemudahan pelancong.



Terdapat begitu banyak formasi stalagtit dan stalagmit yang menarik pada dinding batu kapur Gua Bewah ini. Terdapat juga flora dan fauna dalam gua ini seperti labah-labah, lipas, ketam, lumut dan kelawar.



Di sini terdapat begitu banyak pokok lada yang hidup subur berbajakan tahi kelawar dari dalam gua Bewah. Menurut Dolah, Tekong rumah bot yang membawa kami ke sini, pokok lada ini sudah begitu lama hidup di sini dan dipercayai sudah dijumpai ketika mula-mula ekspedisi eskavasi oleh Jabatan Muzium dan Persatuan Sejarah Malaysia Terengganu pada tahun 1976. Apa yang menarik mengenai lada-lada yang hidup di sini ialah rasanya yang sangat pedas berbanding lada-lada biasa.



'Terengganu Girl'

Kubur ' Terengganu Girl' berdekatan dengan sebuah batu besar di dalam Gua Bewah

Di Gua Bewah ini juga dijumpai rangka tulang manusia yang paling lama di Malaysia mengatasi Perak Man iaitu Terengganu Girl yang dikatakan pernah hidup 11,000 tahun dahulu. Rangka ini dijumpai dalam keadaan mengerekot seperti bayi dan semasa meninggal dunia rangka ini masih remaja. Oleh sebab itulah rangka ini digelar 'Terengganu Girl'.










Read more...

Wednesday, December 15, 2010

Trip Memancing di Tasik Kenyir



Kali pertama saya menjejakkan kaki ke Empangan Kenyir adalah ketika berusia 10 tahun. Ketika itu saya mengikuti lawatan sambil belajar ke Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud. Tetapi rombongan kami tidak dapat memasuki tempat Janakuasa Elektrik atas alasan yang saya pun tidak berapa mengerti ketika itu. Guru kami mengambil inisiatif menyewa rumah bot dan membawa kami bersiar-siar ke sekitar Tasik Kenyir dengan bayaran RM 2.oo seorang.

Mendaftar sebelum memasuki Taman Negara

Dua belas tahun selepas itu, barulah saya sampai semula ke Tasik Kenyir ini dengan trip memancing bersama rakan-rakan. Usai sarapan, kami bertolak ke Stesen JanaElektrik Sultan Mahmud, rumah bot yang kami sewa berpengkalan di sini, tidak di pengkalan Gawi. Dari sini kami bertolak ke kawasan lubuk ikan yang terletak berhampiran Sungai Cacing. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 5 jam.



Lampam dikail menggunakan umpan palet.



Sebaik sahaja tali rumah bot diikatkan di tunggul balak, kami terus mencangkukkan umpan ke mata kail dan mencuba nasib. Rumah bot kami 'disinggah' beratus-ratus ekor Lampam yang bersaiz tapak tangan. Bagi pemancing 'beginner' seperti saya mendapat seekor ikan sudah memadai. Petang itu sahaja berpuluh ekor Lampam berjaya dikail. Umpan sawit saya tidak mengena, tetapi umpan sawit rakan disambar Kelah sebesar lengan ahli gusti. Memang adat memancing, lain umpan, lain ikannya, jika umpan kelah ialah sawit, umpan toman pula ialah anak ikan. Di waktu malam pula, ikan temperas begitu galak menyentap cengkerik.


Toman mudah dijinakkan menggunakan umpan anak keli atau ikan seluang



Trekking ke Lubuk Kelah di Sungai Terenggan, Tasik Kenyir


Pada hari kedua, kami dibawa ke Sungai Terenggan di mana banyak spesis kelah dan sebarau bermain-main di celah batu melawan aliran sungai yang deras. Kami berjalan kaki sejauh 2 kilometer meredah anak sungai yang paling dalam pun hanya paras dada. Sesekali sekumpulan memerang keluar dari sungai menyusup ke semak. Banyak sisik dan tulang-tulang ikan di tepian Sungai Terenggan ini menandakan lubuk ikan di sini menawarkan tangkapan lumayan.


Teknik Casting digunakan untuk menawan Kelah dan Sebarau.






Toman


Sebarau




Bagi saya, 3 hari 2 malam di sini begitu menenangkan. Suasana yang begitu nyaman amat mententeramkan jiwa. Bukan setakat memancing, pelbagai aktiviti boleh dilakukan di sini, meluangkan masa bersama rakan atau keluarga, melawat ke tempat menarik seperti Gua Bewah dan Taat, Air Terjun Lasir atau 'birdwatching' atau ke Santuari Kelah.




Untuk pengalaman menarik ini,
Hubungi Dolah, tekong Rumah bot yang mesra
di 0148429812


Read more...

Sunday, November 7, 2010

Analisis Pageviews Sepanjang Pertandingan Blog Pelancongan Terengganu


Pertandingan Blog Pelancongan Negeri Terengganu bermula April 2010 lalu. Ia merupakan pertandingan blog yang julung kali diadakan di Negeri Terengganu. Pertandingan blog Pelancongan ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai lapisan umur.

Sejak Mei lalu, sebanyak 22,428 pageview pelawat dari Malaysia telah melayari laman blog Alami Terengganuku. 241 pageview dari US, 210 dari Indonesia, 113 dari South Korea, 112 dari Egypt, 91 dari UK, 66 dari Singapura, 63 Canada, 32 dari Jordan dan 25 pageview dari Jepun. Mungkin terdapat beberapa kata kunci (keyword) tentang Terenganu yang terdapat di blog ini yang menarik lawatan dari negara-negara asing tersebut.




Pageview dari Browser Firefox merupakan paling banyak mengatasi Google Chrome dan Internet Explorer.



Pageview dari pengguna Windows merupakan yang tertinggi dalam graf, iaitu 97%, terdapat pelawat yang menggunakan telefon mereka untuk mendapatkan maklumat mengenai Terengganu. Ini menunjukkan perkembangan yang pesat peranti mudah alih yang memudahkan seseorang mencari maklumat di mana sahaja mereka berada.


Google menjadi penyumbang terbesar lawatan ke laman blog ini, sebanyak 4,240 unique visitor tiba di blog ini menggunakan kata kunci tertentu mengenai Negeri Terengganu. Selebihnya adalah dari blogtrgtourism, Facebook, conduit dan google images.






Read more...

Wednesday, November 3, 2010

Seuntai Kata, Segemal Harapan


Pada 2 November 2010, hampir 7 bulan saya menyertai Pertandingan Blog Pelancongan Negeri Terengganu. Pada awal Mei lalu, saya terbaca iklan tentang Pertandingan Blog ini di akhbar TeganuKita, lidah rasmi kerajaan Negeri Terengganu yang diterbitkan oleh Unit Komunikasi Negeri Terengganu (UKOM). Terdetik di hati untuk menyertai pertandingan ini, alang-alang sudah ada banyak gambar yang diambil dan banyak tempat yang menarik di Terengganu sudah dilawati. Siap sahaja membina sebuah blog dan memindahkan cerita-cerita dari blog lama, saya terus mendaftar secara online di blog urusetia pertandingan.



Masa, usaha dan semangat dicurah untuk menjelajahi segenap ceruk Negeri Terengganu bagi mendapatkan cerita-cerita menarik mengenai Negeri Terengganu. Saya akui, sebagai seorang guru pelatih yang kini menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, kekangan masa antara cabaran utama yang perlu ditangani selain dari masalah kewangan dan tugas-tugas yang perlu diselesaikan. Namun itu semua tidak menjadi penghalang, hari minggu dan cuti sekolah dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendapatkan segala maklumat dan gambar-gambar untuk dimuatkan dalam blog.



Banyak ilmu dan pengalaman yang saya perolehi sepanjang menyiapkan blog ini, terutamanya tentang bagaimana cara untuk membina laman blog, mendapatkan tempat di enjin carian, interaksi interpersonal dan juga dapat melatih diri untuk menulis. Walaupun pertandingan sudah tamat, Insyaallah saya akan terus menulis tentang Negeri Terengganu kerana banyak lagi tempat yang tidak sempat dilawati dan kisah yang tidak diceritakan.



Syukur ke hadrat Illahi ke atas nikmat dan jutaan terima kasih diucapkan kepada ibu bapa, pensyarah-pensyarah IPG Kampus Sultan Mizan, dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan, semangat dan tunjuk ajar sehingga terhasilnya blog ini dan berjaya memenangi tempat pertama bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi. Terima Kasih juga kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar Y.A.B Dato' Seri Ahmad Said kerana terus komited membangunkan Negeri Terengganu dari segenap aspek dan memberi peluang kepada rakyat Negeri Terengganu dan rakyat Malaysia amnya untuk mempromosikan sendiri pelancongan Negeri Terengganu dengan media yang paling berkuasa kini iaitu internet.




Read more...

Saturday, October 30, 2010

Hutan Lipur Cangkah Dua



Hutan Lipur Cangkah Dua tidaklah sepopular hutan lipur lain di Terengganu seperti Sekayu, Lata Tembakah, Lata Belatan, Lata Payong, Cemerung, Bumbung Raja atau Rasau Kerteh. Saya sendiri tidak pernah mendengar nama Hutan Lipur Cangkah Dua apabila disebut oleh pensyarah kami yang ingin mengadakan perkhemahan di sana.

Hutan Lipur Cangkah Dua terletak di Permaisuri, Setiu, Terengganu. Ia mengambil masa kira-kira 1 jam 30 minit dari Kuala Terengganu dan jaraknya adalah kira-kira 70 km. Tiada papan tanda yang khusus menunjukkan jalan ke hutan lipur ini. Kami menjadikan papan tanda ke Kampung Besut untuk ke hutan lipur ini. Dari Bandar Permaisuri kami meneruskan perjalanan sejauh 13 km lagi ke Hutan Lipur Sungai Cangkah .


Udara yang nyaman di Hutan Lipur Sungai Cangkah


Pelbagai kemudahan disediakan untuk kegunaan pelawat seperti tandas dan pondok rehat.








Air Sungai yang jernih dan dingin di Hutan Lipur Cangkah Dua










-Klik untuk besarkan-






Read more...

Wednesday, October 6, 2010

Graham dan Emma di Muzium Terengganu


Selesai melawat Muzium Terengganu, rakan saya dari Kedah meminta saya merakamkan gambarnya di hadapan muzium sebagai kenangan. Jam ketika itu menunjukkan waktu 4.30 petang, hanya setengah jam sahaja lagi muzium akan ditutup. Sedang bergambar, datang sebuah teksi yang membawa dua orang pelancong asing berhenti betul-betul di hadapan kami. Dengan tergesa-gesa mereka memanjat tangga muzium untuk masuk. Teksi berlalu pergi, saya melihat dua pelancong asing turun dari tangga dengan wajah hampa. Mungkin muzium sudah ditutup, kata rakan saya. Saya bertanyakan kepada pelancong asing tersebut, dan memang benar muzium telah ditutup. Saya mencadangkan kepada mereka supaya melawat kawasan sekitar muzium kerana terdapat perkara menarik di sekitar Muzium Terengganu seperti Kapal dan perahu lama, Rumah Melayu Lama, pemandangan Sungai Terengganu, dan Taman Burung.



Kedua suami isteri ini merupakan pelancong dari Australia dan baru pulang dari Pulau Perhentian. Mereka menceritakan kepada saya mereka tiba dari Pulau Perhentian ke D'Riyaz pada hari Jumaat. Kata mereka, sangat sukar untuk mendapatkan kenderaan awam atau teksi pada hari tersebut. Oleh kerana mereka tidak menyimpan sebarang nombor teksi dan teksi yang mereka naiki tadi telah berlalu, saya menawarkan kenderaan untuk mereka pulang ke resort. Sebelum itu, saya mengajak mereka bersiar-siar di Taman Tamadun Islam memandangkan jarak yang tidak berapa jauh dari Muzium Terengganu. Kami juga ke Perkampungan Keropok Losong. Begitu gembira saya melihat mereka begitu menggemari keropok lekor yang dicicah dengan kuah lada itu. Ini merupakan kali pertama mereka makan keropok lekor.


Menceritakan kepada Graham dan Emma tentang Terengganu.


Melihat sampan kayu lama di luar Muzium Terengganu.

Muzium Terengganu merupakan Kompleks muzium yang terbesar di Asia Tenggara yang menempatkan empat blok utama selain muzim maritim dan rumah tradisional.


Bergambar bersama Graham dan Emma di Rumah Lama Terengganu


Melawat Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal

Setelah bertukar-tukar emel, saya meneruskan perjalanan pulang ke Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan, Besut. Pengalaman bersama mereka sangat menarik, di samping dapat menambahbaikkan Bahasa Inggeris, saya juga boleh mengetahui pengalaman mereka di negara-negara yang pernah mereka lawati dan juga mempromosikan Negeri Terengganu semestinya.







Alamat :
Lembaga Muzium Negeri Terengganu Bukit Losong 20566 Kuala Terengganu Terengganu
Telefon : 609 - 622 1444
Faks : 609 - 623 1209
Email : webmaster@muzium.terengganu.gov.my

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP