Tuesday, August 17, 2010

Sejarah Lagu Selamat Sultan

New Picture (6)

Lagu Kebesaran Negeri Terengganu atau Lagu Selamat Sultan yang digunakan pada hari ini digubah dalam tahun 1927 semasa pemerintahan Al Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah. Penggubahnya ialah Cikgu Hashim Bin Abu Bakar, kelahiran Singapura yang ketika itu merupakan seorang guru di Sekolah Melayu Paya Bunga, Kuala Terengganu. Beliau juga merupakan Guru pancaragam Pengakap Pasukan Sultan Sulaiman dan juga seorang penulis lirik lagu.

Kisah lagu ini disusun ialah, Allahyarham Dato' Seri Andika Raja berjumpa dengan Cikgu Hashim di sekolahnya kerana menyampaikan titah Duli Yang Maha Mulia Tuanku supaya mengarang suatu lagu Selamat Sultan. Lagu itu dikehendaki berirama Melayu dan bercampur Arab. Kecenderungan Dato' Hashim adalah irama yang lebih garang. Titah itu diterima oleh Cikgu Hashim dan dipersembahkan beserta pasukan pancaragam pengakap di Istana Kolam. Baginda serta penggubah lagu itu menyanyikan sendiri lagu tersebut.



Seminggu kemudian Duli Yang Maha Mulia Tuanku menitahkan supaya lagu itu dinyanyikan pula beramai-ramai oleh Pengakap Kanak-Kanak beserta Pancaragam di Istana Kolam sekali lagi. Kelihatan wajah Duli yang Maha Mulia Tuanku berseri-seri menandakan persetujuan baginda dengan lagu tersebut. Susunan lagu tersebut telah digubah juga oleh pihak Pejabat Pelajaran hingga kekal ke hari ini.



Lagu asal :

Allah peliharakan Raja Kami
Sultan Trengganu Negeri
Allah peliharakan Raja Kami
Sejahtera dua laki isteri
Allah peliharakan Raja kami
Memerentah Trengganu Negeri

Lagu yang dipinda :

Allah peliharakan Raja Kami
Memerntah Trengganu Negeri
Allah peliharakan Raja Kami
Sejahtera suami isteri
Allah peliharakan Raja Kami
Sentosa ra'ayat Negeri


Lagu Selamat Sultan sekarang :

Allah daulatkan Tuanku Sultan
Terengganu Darul Iman
Allah peliharakan Tuanku Sultan
Sejahtera sepanjang zaman
Allah rahmatkan Tuanku Sultan
Memerintah rakyat aman






Sumber,
Sambutan dan Perayaan Genap 25 Pemerintahan
Tuanku Ismail Nasiruddin Shah

0 comments:

Share |

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP