Wednesday, May 26, 2010

Seni Anyaman Tikar di Terengganu



Terengganu sangat terkenal dengan seni budayanya. Anyaman daun pandan dan mengkuang merupakan salah satu daripada seni warisan turun-temurun yang kekal di kalangan wanita-wanita Melayu terutamanya di Terengganu. Daya cipta serta kreativiti orang-orang zaman dahulu masih berkekalan sehingga ke hari ini.

Tokoh Anyaman Pandan dan Mengkuang yang terkenal di Terengganu ialah Puan Aminah binti Ali. Beliau dilahirkan pada tahun 1944 dan berasal dari Kampung Rusila, Marang, Terengganu Darul Iman, iaitu tempat penghasilan kraftangan anyaman yang terkenal. Antara tokoh-tokoh lain yang berasal dari Terengganu yang telah mencipta motif anyaman ialah :

i. Cik Siah bt Jumaat mencipta motif Sambas
ii Hajah Asiah bt. Salleh motif Tapak harimau
iii Hajah Semek mencipta motif Mak Mek



Proses Pembuatan Tikar Pandan Dan Mengkuang


Memilih daun Pandan Laut untuk dibuat Tikar



1. Proses pertama dalam membuat anyaman adalah dengan membuat pemilihan warna yang bersesuaian dengan bentuk motif yang dipilih.



2. Setelah warna dipilih, sebahagian daun yang telah kering direndam didalam warna tersebut selama sehari bertujuan supaya warna tersebut kekal dan meresap dengan baik.




3. Kemudian, daun yang telah diwarnakan tadi akan dijemur sehingga betul-betul kering agar warna tersebut tidak akan luntur apabila terkena air.

4. Setelah dikeringkan, kepingan daun tersebut sedia untuk dianyamkan.




5. Proses pertama dalam menganyam adalah dengan menggunakan 3 helai daun. Daun yang pertama akan disilangkan bersama daun kedua. Kemudian daun ketiga akan diselitkan dicelah-celah daun pertama dan kedua.


Hasil anyaman boleh divariasikan.







Read more...

Sunday, May 23, 2010

Etok-Etok (Etak)

Etak



Sejak sekian lama masyarakat yang tinggal di pesisir sungai menikmati keenakan etak atau lebih dikenali sebagai etok-etok oleh penduduk tempatan di Kelantan dan Terengganu khususnya. Mungkin masih ada di kalangan kita yang langsung tidak tahu tentang kewujudan etak ini berbanding dengan lala, kepah atau kerang.


Etak yang hidup di kawasan berlumpur berwarna kehitam manakala yang hidup di kawasan berpasir berwarna cerah.


Etak bersaiz sebesar batu kerikil dan merupakan spesis corbicula (kepah) yang hidup di dasar sungai dan terusan. Ia biasanya dijumpai di kawasan sungai yang berpasir yang telah cetek ataupun ketika sungai surut.


Etak yang dijual di Pasar Tani Jumaat, Kuala Besut, Terengganu.

Kebiasaanya ia disalai dan dicampurkan ramuan tertentu seperti serai. Etak juga boleh biasanya dibuat masak lemak.

















Read more...

Saturday, May 22, 2010

Menikmati kehangatan kolam Air Panas La (La Hot Spring) di waktu dinihari.



Kolam Air Panas Kg. La Hulu Besut atau lebih terkenal dengan nama La Hot Spring telah ditemui oleh Penghulu Ibrahim bin Haji Mat ketika memburu sejak zaman pemerintahan Inggeris lagi. Ketika itu kolam ini terletak jauh di tengah hutan dan tiada siapa yang berminat untuk berkunjung ke sini.





Penerokaan tanah oleh FELDA menyebabkan kolam air panas ini mula dikenali dan dikunjungi ramai. Takungan air dalam kolam ini adalah dari sumber mata air yang keluar dari celah-celah batu dengan kepanasan suhunya mencecah 100 darjah celcius.


Tengah malam tidak menjadi halangan kepada pengunjung yang ingin membelai tubuh dengan air panas semulajadi. Badan terasa segar dan lenguh-lenguh hilang setelah berendam di kolam ini.


Apa yang menarik di kolam ini ialah khasiat air kolam ini yang boleh menyembuhkan pelbagai jenis penyakit seperti lumpuh darah tinggi gatal-gatal, lelah dan angin ahmar.



Menurut Abdul Rani @ Rohani yang lebih dikenali sebagai Pak Din (pihak pengurusan La Hot Spring) , suatu ketika dahulu kolam ini dinaungi oleh rimbunan pokok buluh yang menjadikan kolam ini sebagai bilik sauna semulajadi. La Hot Spring ini adalah di bawah kelolaan Majlis Daerah Besut.



Kehangatan dirasai dan wap air panas boleh dilihat dengan jelas.




Bagaimana mahu ke La Hot Spring

Klik imej untuk besarkan

Kolam Air Panas La terletak kira-kira 120 km dari Kuala Terengganu dan mengambil masa kira-kira 2 jam 30 minit menaiki kereta.

Read more...

Wednesday, May 19, 2010

Perkampungan Nelayan Marang : Jeti Ke Pulau Kapas


Perkampungan Nelayan Marang dapat dilihat dari atas jambatan Marang apabila anda melaluinya. Ia terletak kira-kira 24 km dari Bandar Kuala Terengganu. Di sinilah bot-bot nelayan ditempatkan setelah mereka pulang dari laut. Pemandangan di sini sangat permai. Bagi sesiapa yang meminati seni fotografi, Kuala Marang ini merupakan salah satu tempat yang tidak boleh dilepaskan untuk mendapatkan 'shot-shot' terbaik.



Filem Debu-Debu Kasih yang dilakonkan oleh Sham Visa, Aida Aris dan Raja Azura dijalankan penggambarannya di perkampungan nelayan ini dan filem ini disiarkan pada tahun 1995. Filem romantik muzikal ini memaparkan semangat tinggi seorang anak laut Terengganu yang ingin menceburi bidang seni tetapi dihalang oleh orang tuanya.



Petikan Filem Debu-Debu Kasih



download filem Debu-Debu Kasih di sini


Jeti ke Pulau Kapas


Terdapat 11 Resort dan Chalet berada di Pulau Kapas. Antaranya ialah Kapas Turtle Valley, The Light House, Kapas Coral Beach dan lain-lain. Harga bilik adalah dari RM 25 - RM 860 mengikut kelas dan keselesaan. Bagi mereka yang mahu berkhemah dan membawa khemah sendiri, tapak khemah disediakan dengan bayaran RM 10 setiap orang. Bagi mereka yang tiada khemah pula, hanya RM 16 untuk sewa khemah dan tapak setiap seorang. Bot di sini adalah seawal jam 9.oo pagi dan bot terakhir adalah jam 5 petang (dari jeti dan pulau).



Bagi mereka yang mahu ke Pulau Kapas secara berkumpulan, tambang bot ialah RM 18 setiap orang dan kumpulan tersebut sekurang-kurangnya 40 orang. Kadar tambang pergi balik bagi setiap orang ialah RM 40 dan separuh harga bagi kanak-kanak yang berumur antara 4-12 tahun.




Maklumat lanjut :
http://www.marangguesthouse.com/

For Room Reservation pls call : 012-9865659, 019-9618757 or 019-9973936

Read more...

Tuesday, May 18, 2010

Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long




Desa Ukiran Kayu Istana Tengku Long terletak di Perkampungan Kampung Raja Lama di Besut, Terengganu. Ia terletak bersebelahan dengan Istana Tengku Long yang dibina oleh Tengku Chik pada tahun 1875.

Desa Ukiran Kayu ini dibina sebagai penghargaan kepada pengukir-pengukir tersohor yang lahir dari daerah Besut seperti Che Long Bin Yusof, Tengku Ibrahim Bin Tengku Wok, Hj Wan Su dan ramai lagi.




Rumah Limas Bungkus

Rumah jenis ini dikatakan bersal dari Belanda dan British. Mula diperkenalkan di kepulauan Riau sekitar abad ke 17 hingga ke 19. Pada abad ke 19, ia mula dibina di Terengganu.




Rumah Bujang Berserambi Selasar





Pelbagai hasil kraftangan ukiran dipamerkan di sini. Desa Ukiran Kayu juga menawarkan kursus ukiran untuk melahirkan ramai lagi pelapis yang akan mewarisi seni yang tidak ternilai dari nenek moyang kita ini.



Bagaimana mahu ke Kampung Raja, Besut.

Klik Imej untuk besarkan

Kampung Raja Terletak kira-kira 99km dari Kuala Terengganu, mengambil masa kira-kira 1 jam 40 minit. Perkhidmatan Bas (Kuala Terengganu-Kuala Besut) (Kuala Terengganu-Jerteh) juga disediakan di Perhentian Bas Kuala Terengganu.

Alamat: PA1043, Pusat Kraf Jalan Tengku Long Kg. Raja 22200 Besut Terengganu
No. Tel: 09-6954823 / 3823
No. Faks: 09-6958823


Read more...

Sunday, May 16, 2010

Bukit Puteri : Saksi Sejarah Negeri Terengganu

Pemandangan dari atas Bukit Puteri

Bukit Puteri terletak di kawasan Bandar Kuala Terengganu. Bukit bersejarah ini mempunyai keluasan kira-kira 0.688 hektar dengan ketinggian lebih kurang 200 meter dari aras laut. Lokasinya begitu strategik kerana berdekatan dengan bangunan bersejarah istana Maziah dan Masjid Abidin (Masjid Putih). Kubu pertahanan masih lagi teguh walaupun walaupun telah menelan usia lebih seabad. Terdapat beberapa artifak di puncak bukit ini iaitu Genta (loceng besar), kubur lama, rumah api dan tiang bendera.



Artifak-Artifak Bersejarah di Puncak Bukit Puteri



Rumah Api
Menjadi panduan kepada kapal-kapal yang akan singgah di Kuala Terengganu suatu ketika dahulu





Lubang ubat Bedil
Lubang ini pernah digunakan untuk menyimpan ubat bedil yang digunakan semasa berlaku Perang Saudara pada tahun 1831 dan 1839.




Kubu pertahanan
Kubu ini dibina oleh Baginda Umar. Diperbuat daripada batu bata dan diperkukuhkan dengan campuran kapur, pasir garam, putih telur dan madu.





Tiang Bendera
Telah didirikan pada masa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah bagi menggantikan tiang bendera yang telah dibina oleh Sultan Zainal Abidin 3. Telah didirikan pada 22 April 1899 ketika pemerintahan Sultan Zainal Abidin 3. Istiadat menanam tiang ini dilakukan dengan penuh istiadat dan dituruti dengan tembakan meriam sebanyak 16 das.




Meriam beranak
Dinamakan meriam beranak kerana kedudukannya yang berdekatan di antara satu sama lain dan mempunyai ukuran berbeza. Meriam yang berukuran besar dikatakan sebagai ibu kepada meriam yang berukuran kecil.



Genta

Diperbuat semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin 3 dalam tahun 1326H (1908M) bagi menggantikan Genta pertama yang bernama 'Negara' yang dibuat semasa pemerintahan Sultan Baginda Umar sekitar tahun 1270H (1853M). Berat genta ini lebih kurang 175kg dan diperbuat daripada tembaga kuning.




Kubur Syed Yasin
Syed Yasin bin Akil dilahirkan di Sumatera dan keluarganya berasal dari Hadramaut. Syed Yasin telah berhijrah ke Negeri Terengganu dan berkahwin dengan Che' Siti, Puteri Sultan Zainal 1. Beliau telah dilantik menjadi seorang pembesar Negeri Terengganu semasa pemerintahan Sultan Zainal Abidin 1.






















Read more...

Saturday, May 15, 2010

Pesona Pulau Redang ( Redang Island Temptation)






Pulau Redang telah diketahui umum bahawa ia merupakan salah satu pulau yang tercantik di dunia. Ia terletak kira-kira 45km dari pantai Kuala Terengganu. Terdapat pulau-pulau kecil lain di sekitar Pulau Redang iaitu Pulau Lima, Pulau Paku Besar, Pulau Paku Kecil, Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil, Pulau Ekor Tebu , Pulau Ling, dan Pulau Pinang.

Pasti anda akan sangat kagum dengan keindahan alam semulajadi di sini, pasirnya halus memutih dan air laut yang sangat jernih menampakkan batu karang yang menjadi habitat kepada pelbagai jenis ikan terumbu karang.






Bayangkan gambar-gambar ini hanya diambil dengan kamera telefon Nokia N73 saya, dan gambar ini nampak sangat menarik dan cantik, seperti diambil oleh jurugambar professional, walhal saya bukanlah seorang jurugambar professional pun. Apa yang tersurat di dalam gambar itulah keadaan sebenarnya di Pulau Redang. Alamilah sendiri keindahan Pulau Redang dan dapatkan 'shot' anda sendiri.



Ikan di sini bukan sahaja cantik malah sangat jinak. Campakkan sahaja roti, biskut atau palet, ikan-ikan akan terus mengerumuni anda.


Selain merehatkan minda, pelbagai aktiviti lain boleh dibuat di sini seperti snorkel, berenang, menyelam skuba, merentas hutan, menaiki bot dan berkanu. Jika anda bertuah, anda juga boleh menyaksikan penyu mendarat untuk bertelur di Pulau Redang (di Pulau Pinang) ini. http://alamiterengganuku.blogspot.com/2010/05/alami-pengalaman-menarik-melihat-penyu.html




Pandangan dari Taman Laut Pulau Pinang.

Terdapat begitu banyak ikan terumbu karang yang sangat cantik dan berwarna-warni di Taman Laut Pulau Redang ini. Saya juga pernah terjumpa penyu ketika melakukan aktiviti snorkel di sini.





Pasir halus putih pastinya berbeza dengan pantai-pantai lain di dunia ini.



Pengangkutan utama ke Pulau Redang adalah dengan feri di jeti Shah Bandar Kuala Terengganu atau Jeti Merang.

Bagaimana ke Pulau Redang?

Read more...

Wednesday, May 12, 2010

Pantai Bukit Keluang dan Penggambaran filem Merong Mahawangsa





Pantai Bukit Keluang terletak beberapa kilometer dari Kuala Besut dan kira 140 km dari Kuala Terengganu. Jika hari cerah, kesemua pulau dapat dilihat dengan begitu jelas sekali di Pantai Bukit Keluang ini. Di samping itu terdapat juga gua-gua yang menarik yang boleh diterokai oleh pengunjung. Batu bukit di sini sangat unik dengan warna kemerah-merahan.



Dua buah kapal ditempah dan dibina khas untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa. Kapal kayu ini ditempah di Pulau Duyong yang merupakan tempat pengeluar bot dan kapal yang tersohor di dunia.


Selain Pantai Mangkuk dan Pantai Pandak, Pantai Bukit Keluang juga telah dipilih menjadi latar tempat kisah Raja Merong Mahawangsa. Kisah Merong Mahawangsa sangat terkenal di alam Melayu kerana telah memulakan era pemerintahan Kesultanan Melayu Kedah. Merong Mahawangsa juga dipercayai berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain. Banyaknya versi tentang cerita Merong Mahawangsa membuktikan ianya bukan hanya sekadar kisah dongeng dan kita sebagai generasi baru harus mengambil tahu sejarah dan kisah ini kerana ia merupakan khazanah yang amat bernilai untuk terus diwarisi.



Istana lama


Bersama salah seorang pelakon tambahan Hikayat Merong Mahawangsa.


Pemandangan Pantai Bukit Keluang yang sangat cantik menjadi pilihan KRU Production untuk penggambaran filem mereka.


Jeti diubah supaya sesuai dengan setting masa filem Merong Mahawangsa.





Hikayat Merong Mahawangsa Trailer



Bagaimana ke Pantai Bukit Keluang?

Read more...

Tuesday, May 11, 2010

Alami Pengalaman Menarik melihat Penyu bertelur di Pulau-Pulau Terengganu


Bagi generasi lama masyarakat di pesisir pantai Terengganu, mungkin melihat penyu bertelur adalah perkara biasa. Tetapi jika bertanya kepada generasi muda Terengganu sekarang, pernahkah mereka melihat penyu bertelur di depan mata sendiri, ramai di antara mereka yang akan menjawab tidak pernah. Bilangan penyu dari sehari ke hari semakin berkurang sehingga terpaksa dikategorikan sebagai hidupan laut yang bakal pupus.



Tetapi bagi mereka yang bernasib baik, dapatlah mereka menyaksikan penyu ini kerana masih ada penyu-penyu yang mendarat ke pantai-pantai dan pulau-pulau di Malaysia ini amnya, dan di Negeri Terengganu ini khususnya. Masih banyak penyu-penyu yang mengembara dari seluruh pelusuk dunia datang ke pulau-pulau di Negeri Terengganu ini untuk bertelur dan meneruskan keberlangsungan spesis mereka.



Penyu tidak suka diganggu apabila bertelur. Cahaya 'flash' dari kamera sangat mengganggu penyu. Gambar hanya boleh diambil dari belakang.




Kawasan Pajakan Penyu



Banyak kawasan di pulau-pulau Terengganu ini telah dikategorikan sebagai kawasan pajakan penyu kerana penyu masih mendarat untuk bertelur di kawasan ini. Ia tidak boleh diganggu sama sekali. Pemeliharaan dan pemuliharaan penyu berjalan dengan baik oleh agensi yang terlibat seperti Jabatan Perikanan.


Anak penyu yang baru menetas.





Kakitangan Jabatan Perikanan memindahkan telur penyu ke sangkar.





Telur-telur penyu dikutip dan diletakkan dalam sangkar yang terkawal supaya tidak dicuri oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Memegang anak penyu untuk melepaskannya ke laut.



Pengalaman melepaskan anak-anak penyu ke pantai sambil menyaksikan ia bertempiaran lari menuju ke laut pastinya sangat menyeronokkan. Pengalaman sebegini sangat menakjubkan. Sekurang-kurangnya kita pernah melihat sekali penyu bertelur sepanjang hidup kita. Jangan lepaskan peluang keemasan ini begitu sahaja. Jika anda bernasib baik, mungkin anda juga dapat melihat penyu bertelur dan penyu menetas dan melepaskan mereka ke laut. Rancanglah percutian anda ke Pulau-Pulau di Negeri Terengganu ini.






Bagaimana mahu ke Pulau Redang

Read more...

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP